Wujud sistem penggiliran peniaga di tapak pasar malam

Abd Rahim (kanan) dan Hamdan pada sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.
Abd Rahim (kanan) dan Hamdan pada sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Penganjur tapak pasar malam dan pasar minggu di negeri ini disaran membuat penggiliran bagi peniaga yang dibenarkan berniaga di tapak berkenaan.

Ia berikutan keputusan kerajaan negeri membenarkan operasi pasar malam dan pasar minggu di negeri ini dengan kapasiti 50 peratus daripada bilangan peniaga sedia ada bermula pada Selasa.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, langkah itu bagi memastikan lebih ramai peniaga dapat berniaga kembali.

Menurutnya, kelonggaran diberikan itu perlu diambil peluang sebaik mungkin oleh para peniaga dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Kerajaan negeri prihatin dengan nasib peniaga kecil ini di mana ada yang tidak dapat berniaga sejak lima bulan lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya.

"Langkah diambil kerajaan negeri ini bagi memastikan peniaga kecil dapat menjana kembali pendapatan selain berusaha mengurang risiko jangkitan Covid-19 melalui SOP yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Turut hadir Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Abd Rahim berkata, selain mematuhi SOP, peniaga juga diminta supaya sentiasa mengutamakan aspek kebersihan ketika mengendalikan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Peniaga diingatkan supaya menggunakan pembungkus yang lebih mesra alam dan elakkan menggunakan pembungkus makanan jenis polisterin," katanya.

Sementara itu Hamdan berkata, pihaknya akan membuat pemantauan di lokasi pasar malam dan pasar pagi bagi memastikan penganjur mematuhi SOP ditetapkan.

Menurutnya, penganjur perlu memastikan pematuhan SOP bukan hanya di pintu masuk sebaliknya pergerakan pelanggan di dalam juga perlu diperhatikan supaya tidak berlaku suasana sesak dan mengabaikan penjarakkan fizikal.

Tambah beliau, peniaga juga digalakkan mempamerkan Sijil Digital Vaksinasi bagi meyakinkan pelanggan.

"Mungkin mereka boleh cetak sijil tersebut dan dijadikan tag untuk dipakai semasa berniaga," katanya.