Kerajaan perlu fokus tiga perkara dalam masa singkat

Md Alwi (dua, kiri) menyampaikan replika cek untuk inisiatif tambahan Pemulih kepada usahawan di Pusat Khidmat ADUN Kok Lanas pada Ahad.
Md Alwi (dua, kiri) menyampaikan replika cek untuk inisiatif tambahan Pemulih kepada usahawan di Pusat Khidmat ADUN Kok Lanas pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memfokuskan tiga perkara utama dalam tempoh cukup singkat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berkata, salah satu tumpuan utama tersebut adalah untuk membawa negara keluar daripada penularan Covid-19 dengan memastikan seluruh rakyat mendapat vaksinasi masing-masing.

"Dalam skop ini, kerajaan perlu melihat cara untuk mendidik rakyat menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam keadaan endemik sekali gus akhirnya membawa kita keluar daripada penularan Covid-19.

"Keduanya ialah masalah ekonomi negara. Masalah ramai rakyat hilang kerja kena diselesaikan. Sekarang ini UMNO mengepalai kerajaan dan UMNO kena ambil tanggungjawab untuk selesaikan isu ini.

"Ketiga pula ialah kembalikan keyakinan pelabur kepada Malaysia. Kena tunjuk kekuatan yang ada, kestabilan negara, perancangan dan sebagainya. Ini tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kepercayaan pelabur dan rakyat kembali pulih," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Md Alwi yang juga Ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebelum itu menyampaikan Inisiatif Tambahan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kepada usahawan di Pusat Khidmat ADUN Kok Lanas di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu berkata, kerajaan perlu mempunyai perancangan teliti untuk memastikan negara kembali stabil di mata dunia.

Katanya, selain itu, Bajet 2022 antara perkara paling penting untuk diberikan tumpuan memandangkan ia bakal memacu kestabilan negara pada tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Suhu politik negara juga perlu diturunkan. Berhentilah bercakap mengenai perebutan kuasa dan sebagainya. Turunkan suhu ini supaya semua orang boleh beri tumpuan penuh kepada kebajikan rakyat.

"Jangan ada mana-mana pihak atau kumpulan hendak menjatuhkan kerajaan dan sebagainya. Saya harap negara kita bertambah baik dan boleh selesaikan semua masalah," kata beliau.