Operasi kargo non-essential dibenarkan 24 jam

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan, aktiviti penerimaan dan pemunggahan kargo barangan non-essential bagi tujuan import dan eksport dibenarkan beroperasi seperti biasa berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memudahkan pergerakan semua barangan di seluruh negara dan memudahkan syarikat logistik serta pengangkutan menjalankan perniagaan mereka.

Ujar beliau, operasi aktiviti berkenaan berjalan seperti biasa iaitu 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

“Sebelum ini, aktiviti penerimaan dan pemunggahan kargo barangan non-essential di premis hanya dibenarkan pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Keputusan ini dibuat berikutan permohonan MOT kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelakkan kesesakan di gudang, lapangan kontena dan sekitarnya serta memastikan pergerakan barangan berjalan lancar ketika pertumbuhan ekonomi semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun, Ka Siong berkata, semua operator perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN.

“MOT ingin mengingatkan bahawa sebarang ketidakpatuhan SOP yang ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Syarikat-syarikat yang terlibat perlu sentiasa merujuk kepada SOP terkini dan boleh disemak melalui laman web https://www.mkn.gov.my/.

Artikel Berkaitan:

“MOT akan terus memantau situasi di lapangan untuk memastikan persekitaran yang selamat bagi membolehkan para pemain industri logistik dan pengangkutan berkembang maju,” ujarnya.

-Tamat-