Sesi persekolahan 2021 dilanjutkan

Sesi persekolahan 2021 akan dilanjutkan sehingga ke Mac 2022. Gambar hiasan
Sesi persekolahan 2021 akan dilanjutkan sehingga ke Mac 2022. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan hingga Februari tahun depan bagi membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan semua pelajar yang ketinggalan bersedia untuk masuk ke kelas berikutnya.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, semua murid akan kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing pada Januari dan Februari tahun depan sebelum dibenarkan naik ke peringkat seterusnya bermula pada Mac 2022.

"Contohnya, murid Tingkatan Satu tahun ini akan kekal hingga Januari dan Februari tahun depan, sebelum naik ke Tingkatan Dua pada Mac 2022.

"Begitu juga sekolah rendah, contohnya murid Tahun Enam tahun ini akan kekal sebelum boleh naik ke Tingkatan Satu pada Mac 2022.

"Satu kumpulan yang akan masuk lambat sedikit ke sekolah adalah pelajar Tahun Satu sesi 2022, yang mana mereka akan mula masuk ke sekolah pada Mac tahun depan,” katanya dalam sidang media mengenai pengoperasian sekolah pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, pembukaan sekolah akan dilaksanakan menggunakan kaedah penggiliran dengan kapasiti 50 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Menurutnya, pelaksanaan itu mengambil kira pengurangan kapasiti pelajar di dalam bilik darjah dan kedatangan delta varian baharu.

“Kita akan laksanakan penggiliran minggu dengan pembahagian murid dalam satu kelas kepada dua kumpulan. Maknanya 100 peratus dipecahkan kepada dua kumpulan dan dilaksanakan untuk semua kelas.

Artikel Berkaitan:

“Ini bermaksud secara keseluruhan hanya 50 peratus daripada keseluruhan murid akan datang ke sekolah pada satu-satu masa.

“Sebagai contoh tingkatan 5A mempunyai murid seramai 36 orang akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A 16 orang datang ke sekolah secara bersemuka dan kumpulan B 16 orang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), begitu minggu seterusnya pusingan dilaksanakan,” kata beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan PdPR berbeza yang mana guru membantu pelajar membuat persediaan dengan mengajar konsep atau topik utama pada minggu mereka berada di rumah.

“Guru akan memberi garis panduan kepada murid mengenai bahan boleh digunakan termasuk yang disediakan sendiri atau seperti didikTV.

“Semua ini disusun bagi memastikan anak-anak kembali ke sekolah kerana mereka telah renggang untuk satu tempoh sangat panjang. Sistem penggiliran ini akan mengurangkan jumlah murid di dalam kelas, maka dapat mengurangkan risiko jangkitan covid-19 dalam kelas,” jelas beliau.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, sistem penggiliran tersebut diberikan pengecualian kepada beberapa pembahagian mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Antaranya, Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK)/Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional(SMPKV)/Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI); pelajar Tingkatan Enam Semester Dua; The International Baccalaureate Diploma (IBD) Tahun Dua; murid sekolah asrama sepenuhnya; pelajar peperiksaan antarabangsa; murid prasekolah, tadika swasta dan pusat perkembangan minda (4-6 tahun) dan sekolah kurang murid iaitu di bawah 150 orang juga dikecualikan penggiliran.

“Tiada sekolah akan dibuka bagi negeri yang berada di fasa satu samada di sekolah rendah atau sekolah menengah dan mereka akan terus melaksanakan PdPR.

“Seterusnya, pembukaan sekolah rendah di fasa dua hanya MBK di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) hadir tanpa penggiliran.

“Ramai ibu bapa memohon mereka dapat kembali ke sekolah dan perkara ini dibincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) setuju dilaksanakan bermula dari fasa dua,” katanya.

Kata beliau lagi, bagi sekolah menengah di fasa dua hanya murid Tingkatan Enam semester dua dan IBD Tahun Dua serta program pra universiti semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia hadir tanpa penggiliran.

“MBK di SMKPK, SMPKV dan PPKI hadir tanpa penggiliran serta murid kelas peperiksaan antarabangsa hadir tanpa penggiliran,” katanya.

Bagi fasa tiga, pembukaan sekolah rendah hanya MBK di SKPK dan PPKI serta murid prasekolah atau tadika swasta hadir tanpa penggiliran.

“Murid Tingkatan Enam semester dua; IBD Tahun Dua; Program Pra Universiti semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia; MBK di SMKPK, SMPKV dan PPKI; murid kelas peperiksaan antarabangsa serta murid Pra Universiti sekolah Sukan Malaysia dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya; hadir tanpa penggiliran.

“Murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain; murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian atau swasta hadir secara penggiliran,” katanya.

Bagi fasa empat, pembukaan sekolah rendah melibatkan murid tahap satu iaitu Tahun Satu, Dua dan Tiga dibenarkan kembali ke sekolah secara penggiliran bermula 18 Oktober hingga 31 Oktober.

“Bermula 1 November hingga 10 Disember, barulah Tahun Empat, Lima dan Enam dibenarkan hadir ke sekolah mengikut penggiliran.

“Pembukaan sekolah menengah selain daripada pelajar di fasa dua dan tiga, murid kelas peperiksaan awam Tingkatan Tiga dan Empat di sekolah harian dan swasta hadir secara penggiliran; murid kelas peperiksaan antarabangsa hadir tanpa penggiliran dan muid kelas peralihan Tingkatan Satu dan Dua, PdPR bermula 18 Oktober hingga 31 Oktober.

“Bermula 1 November hingga 10 Disember, barulah semua murid sekolah asrama sepenuhnya hadir tanpa penggiliran dan murid lain termasuk sekolah swasta; antarabangsa dan ekspatriat hadir secara penggiliran,” jelas beliau.