Perbincangan memorandum persefahaman PH, kerajaan sedang berjalan

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengalu-alukan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pakatan Harapan (PH) berhubung memorandum persefahaman antara pihak kerajaan dan pembangkang.

Annuar berkata, beliau yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan perbincangan tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa terdiri daripada lima wakil PM dan enam wakil gabungan PH itu sedang dalam perbincangan mempersiapkan terma terperinci bagi membolehkan memorandum persefahaman dapat ditandatangani bersama.

"Bagi tujuan itu, kedua-dua wakil bersetuju akan mengadakan perbincangan sebagai susulan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh PM dan PH.

" Kami yakin dapat keluarkan satu kenyataan bersama selepas memuktamadkan perkara-perkara yang menjadi landasan bersama.

" Pada petang ini, diharap jawatankuasa ini dapat membuat satu kenyataan bersama untuk memaklumkan kepada media dan rakyat tentang perkara yang telah dicapai," katanya berhubung kenyataan media dikeluarkan PH berhubung memorandum persefahaman tersebut pada Sabtu.

Annuar berkata demikian ketika ditemui sempena program penyerahan bantuan makanan kepada petugas Pusat Urus Jenazah Sementara (Pusara) di Rumah Prihatin Grand Seasons, pada Ahad.

Kata Annuar, kerjasama itu merupakan inisiatif PM bagi memastikan kerajaan ini mempunyai 'political will' (keazaman politik) untuk melaksanakan agenda transformasi.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan komited melaksanakan agenda transformasi tersusun. Apa diumumkan PM setakat ini adalah sebahagian daripada agenda transformasi tersebut.

"Kerajaan mengambil sikap terbuka untuk melengkapkan langkah-langkah transformasi melibatkan pentadbiran, politik, parlimen dan tatakelola kerajaan secara keseluruhan supaya bersifat inklusif dan dapat menangani masalah negara dengan lebih baik," katanya.

Tambahnya, fokus kerajaan adalah memastikan negara dapat menguruskan pasca endemik Covid-19 dengan lebih berjaya dan memastikan Pelan Pemulihan Nasional mencapai matlamat seperti disasarkan.

Pada Sabtu, Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan memaklumkan, PH bersetuju dengan tawaran tranformasi dikemukakan oleh kerajaan namun tertakluk kepada perincian penambahbaikan draf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak.

"Secara dasarnya, PH cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan draf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan," menurut kenyataan itu.