X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Maritim Kelantan dedahkan modus operandi baharu nelayan Vietnam

Syed Nor Adli (kanan) menunjukkan nelayan asing Vietnam dan bot yang berjaya ditahan pada jarak 45 batu nautika dari Muara Tok Bali pada Jumaat.Gambar kanan : Syed Nor Adli menunjukkan nombor pendaftaran asal yang ditukar menggunakan plat tempatan oleh nelayan asing Vietnam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mendedahkan pemalsuan dokumen kebenaran menangkap ikan menjadi modus operandi baharu digunakan oleh nelayan asing Vietnam untuk masuk ke perairan Malaysia dan merompak hasil laut negara.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, lebih licik lagi kumpulan itu menyelinap masuk dengan memakir bot-bot mereka dalam kalangan nelayan tempatan.

"Tidak cukup dengan itu, nelayan Vietnam bertindak menukarkan nombor pendaftaran asal menggunakan plat tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, tindakan itu berjaya dipatahkan menerusi pemeriksaan secara terperinci ke atas bot yang disyaki melakukan kesalahan tersebut," katanya dalam sidang media di Jeti Maritim Malaysia Tok Bali, di sini pada Ahad.

Menurutnya, terbaru Maritim Malaysia Kelantan menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menggunakan modus operandi tersebut pada jarak 45 batu nautika dari Muara Tok Bali pada Jumaat.

Katanya, bot dikemudikan oleh seorang tekong bersama enam awak-awak itu ditahan pada jam 2.30 petang dan kesemua mereka it berusia antara 23 hingga 46 tahun.

Syed Nor Adli berkata, pihaknya juga merampas 500 kilogram (kg) ikan dan 4,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

"Maritim Malaysia Kelantan akan menjalinkan kerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Putrajaya untuk membongkar dan membanteras modus operandi tersebut," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!