JPNK kenal pasti hutan simpan diceroboh

Antara kakitangan JPNK yang turut menyertai Kempen Penanaman 100 juta pokok di Kompatmen 4, Bukit Enggang Sik Kedah pada Ahad.
Antara kakitangan JPNK yang turut menyertai Kempen Penanaman 100 juta pokok di Kompatmen 4, Bukit Enggang Sik Kedah pada Ahad.
A
A
A

SIK - Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mengenal pasti seluas 3,500 hektar kawasan hutan simpan diteroka secara haram untuk pelbagai kegiatan sejak 10 tahun lalu lalu.

Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Abdullah berkata, kebanyakan penerokaan dikesan bagi tujuan pertanian membabitkan sindiket selain pembinaan kediaman.

Menurutnya, kira-kira 20 individu ditahan sejak Januari lalu kerana disyaki menceroboh.

"Setakat ini, kita sedang menyediakan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Negeri Kedah untuk tindakan lanjut," katanya selepas program Kempen Penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Kedah di Kompartmen 4, Bukit Enggang, di sini pada Ahad.

Menurutnya, JPNK akan melaksanakan tindakan pemusnahan di kawasan penerokaan baharu manakala dan akan menunggu tindakan lanjut daripada kerajaan bagi kawasan penerokaan lama.

"Di kompartmen 4 ini kita kenal pasti telah diteroka, hasil aduan orang awam dijadikan dusun durian dan ladang kelapa sawit.

"Kita telah menahan seorang lelaki bersama jentera ketika operasi dijalankan Ogos lalu dan hari ini kita laksanakan penanaman semula bagi memastikan kelestarian hutan dipelihara," katanya.

Dalam kempen tersebut, sebanyak 1,000 anak pokok daripada pelbagai spesis kumpulan damar seperti meranti, merawan, merbau dan cengal ditanam semula di kawasan seluas lima hektar bagi menghijaukan semula kawasan terbabit yang telah diteroka secara haram.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, jabatan itu akan memperbanyakkan papan tanda larangan bagi tujuan penguatkuasaan di kawasan hutan simpan, supaya tidak diceroboh.

"Kegiatan menceroboh menyebabkan kerugian besar kepada negara sama ada membabitkan biodiversiti dan balak. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat sekiranya berlaku aktiviti itu.

"Tindakan akan dikenakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 bagi mereka yang menyalahi undang-undang," katanya.