Fitnah: Naib Ketua Pemuda Amanah Perak mohon maaf

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

ALOR SETAR - Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni membuat permohonan maaf kepada penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff berhubung fitnah membabitkan dua artikel ditulis Mohd Fitri yang disiarkan di Facebook.

Peguam mewakili Kamarul Zaman, Mohd Harris Mohan Abdullah berkata, dalam penghakiman persetujuan yang dicapai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan, Mohd Fitri bersetuju membuat kenyataan permohonan maaf terhadap plaintif (Kamarul Zaman).

Menurutnya, saman sivil berkenaan dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 membabitkan dua artikel masing-masing bertarikh 23 dan 25 Mei 2017 yang didakwa memfitnah Kamarul Zaman.

“Dalam kenyataan permohonan maafnya pada Sabtu, Mohd Fitri diwakili peguam, Noorazmir Zakaria, mengakui telah membuat kenyataan terbabit termasuk mendakwa Kamarul Zaman tidak mengikut etika penulisan ilmiah dalam membahaskan subjek diketengahkan selain mendakwa beliau hanya penulis Facebook yang menyamar sebagai pengkritik dan merupakan cybertrooper bertaraf doktor,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Harris berkata, dalam permohonan maaf itu yang dimuat naik di Facebook milik Mohd Fitri, beliau menarik balik kenyataan tersebut serta berjanji tidak menerbitkannya kembali atau menerbitkan apa-apa kenyataan seumpama pada masa hadapan.

“Mohd Fitri turut memaklumkan ia dilakukan tanpa sebarang paksaan dan tanpa pengakuan terhadap liabiliti memohon maaf kepada Kamarul Zaman atas penerbitan kedua-dua artikel tersebut yang telah mengguris hati plaintif.

"Kenyataan dibuat atas semangat persahabatan dan saling menghormati antara satu sama lain dan tidak ingin memanjangkan kes ini di mahkamah,” katanya lagi.

Sementara itu Kamarul Zaman menyifatkan, ia sebagai kemenangan moral yang menjadikan dirinya lebih bersemangat berhadapan kes-kes saman fitnah lain yang beliau kemukakan.

Artikel Berkaitan:

“Saya ucapkan terima kasih kepada peguam saya yang mengusahakan cadangan penyelesaian ini.

Saya menerima baik permohonan maaf Mohd Fitri yang telah menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut.

Agak jarang seorang peguam (Mohd Fitri) sanggup mohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat.

"Saya tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan beliau atau mana-mana pemimpin Amanah lain,” katanya.

Menurutnya, selain kes terbabit, kes saman terhadap lapan ahli Parlimen DAP, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh dan Steven Sim, serta dua ahli Parlimen Amanah iaitu Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin masih berjalan.

“Kes berkenaan lebih besar impaknya kerana individu terlibat merupakan nama-nama besar dalam politik negara.

Saya berharap, ia menjadi pengajaran kepada ahli-ahli politik supaya tidak bersuara mengikut emosi dan lebih berhemah dalam berhujah.

"Mereka perlu pastikan hujah rasional dan berlandaskan fakta, tidak gelar orang sesuka hati.

Sekiranya melakukan kesilapan, akui kesilapan itu dan mohon maaf,” katanya.