X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Pulau Pangkor dijangka buka 1 November: Exco

A
A

BATU GAJAH - Pusat peranginan terkenal Pulau Pangkor dijangka dibuka selewat-lewatnya 1 November depan kepada pelancong.

Bagaimanapun, keputusan akhir tertakluk kepada 'lampu hijau' daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

"Daripada segi mereka yang mendaftar (vaksinasi), hanya 87 daripada 8,026 penduduk (yang perlu divaksin), termasuk pengusaha pelancongan, yang belum divaksin, kerana masalah kesihatan atau mungkin menjalani kuarantin (Covid-19).

"Maklumat terkini yang diterima, difahamkan kita masih lagi belum memenuhi syarat peratusan vaksinasi yang diperlukan.

"Kerajaan negeri sasarkan pembukaan semula Pulau Pangkor pada 1 November.

"Jadi, segala usaha kita tekankan ke arah pembukaan semula secara penuh untuk pemain-pemain industri, termasuk perkhidmatan restoran, penjaja kecil yang telah berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Nolee Ashilin bercakap kepada media selepas Program Penyerahan Bantuan Barang Asas Sumbangan Dewan Perniagaan Melayu Perak kepada JPKK DUN Tualang Sekah di Masjid Al-Hidayah, Kg Batu 8, Batu Gajah, hari ini. - Foto Awani
Nolee Ashilin bercakap kepada media selepas Program Penyerahan Bantuan Barang Asas Sumbangan Dewan Perniagaan Melayu Perak kepada JPKK DUN Tualang Sekah di Masjid Al-Hidayah, Kg Batu 8, Batu Gajah, hari ini. - Foto Awani

Nolee Ashilin berkata demikian selepas Program Penyerahan Bantuan Barang Asas Sumbangan Dewan Perniagaan Melayu Perak kepada JPKK Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah (Zon Batu Gajah) di Masjid Al-Hidayah, Kg Batu 8, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak Kamarullaffie Ahmad dan Setiausaha Kehormat Azizi Zam.

Kata Nolee Ashilin, bagi mencapai imuniti kelompok di Pulau Pangkor, sekurang-kurangnya 8,026 penduduk diunjurkan perlu lengkap divaksin daripada jumlah keseluruhan populasi, iaitu seramai 11,500 orang.

Terdahulu, DPMM Perak mengagihkan sebanyak 50 kotak bantuan makanan kepada DUN Tualang Sekah.

Kamarullaffie berkata, pihaknya menyasarkan untuk menyampaikan bantuan makanan kepada orang ramai yang memerlukan di seluruh daerah di negeri ini.

"Kita bukan hanya agih bantuan di DUN sahaja, tetapi meluas termasuk di balai polis. Dan memang sasaran kita, memperluaskan bantuan ke seluruh daerah.

"Jadi, mereka yang terbabit, seperti di balai polis dan DUN, akan agihkan kepada pihak yang layak untuk terima bantuan.

"Kita sedia maklum, waktu pandemik ramai yang terjejas, jadi ini antara usaha yang kami laksanakan untuk bantu mereka yang memerlukan," jelasnya lagi. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!