Cadangan bina sekolah sukan OKU dipertimbang

Ahmad Faizal (kiri) ketika melawat Pusat Latihan Memanah Para Negeri Perak di Padang Jabatan Veterinar Perak di Ipoh pada Ahad.
Ahmad Faizal (kiri) ketika melawat Pusat Latihan Memanah Para Negeri Perak di Padang Jabatan Veterinar Perak di Ipoh pada Ahad.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan sedia meneliti dan memperhalusi cadangan pembinaan sekolah sukan bagi orang kurang upaya (OKU).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, cadangan diutarakan Senator Datuk Ras Adiba Radzi itu adalah baik dalam usaha kerajaan memperkaskan golongan OKU dalam sektor sukan.

"Kita ucapkan terima kasih atas saranan Yang Berhormat itu kerana ia satu cadangan yang amat baik.

"Namun kita perlu memperhalusi dan mungkin seterusnya akan mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan untuk memikirkan membuka satu sekolah khas bagi pembangunan sukan atlet para negara," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Latihan Memanah Para Negeri Perak di Padang Jabatan Veterinar Perak di Ipoh pada Ahad.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan juga menaruh harapan tinggi agar cadangan sekolah sukan itu dapat direalisasikan memandangkan pencapaian atlet para negara terbukti telah mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

Pada 7 September lepas, Ras Adiba yang mewakili golongan OKU di Dewan Negara mencadangkan pembinaan sekolah sukan pertama bagi OKU untuk memastikan golongan itu terus cemerlang dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu terus melipat gandakan usaha memperkasakan dan pembangunan OKU selari dengan kejayaan atlet OKU dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal meminta masyarakat tidak memberi tekanan yang tidak adil kepada atlet para negara kerana dikhuatiri boleh mengganggu kehidupan mereka.

Artikel Berkaitan:

Dalam apa juga situasi, katanya, sokongan dan keyakinan lebih diperlukan oleh kumpulan atlet itu bagi memastikan emosi mereka tidak terus tertekan atau terganggu.

"Lebih elok kita bercakap perkara yang 'move forward' dan bukannya yang mengecam atau sebagainya. Kita kena belajar daripada apa yang kita alami.

"Seperti apa yang berlaku kepada Ziyad (atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli), saya setuju dengan pandangan untuk kita berhenti bercakap atau mengecam. Sebagai rakyat Malaysia kita kenalah beri mereka keyakinan," katanya.