Mara Kelantan lulus RM11.8 juta bantu usahawan

Fared (dua dari kanan) menyampaikan inisiatif kepada salah seorang penerima di Pusat Pengurusan Kawasan Industri Mara, Kota Bharu pada Ahad.
Fared (dua dari kanan) menyampaikan inisiatif kepada salah seorang penerima di Pusat Pengurusan Kawasan Industri Mara, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kelantan telah meluluskan sebanyak RM11.8 juta melalui pelbagai skim kemudahan pembiayaan Mara melibatkan seramai 217 orang usahawan di negeri ini.

Ahli Majlis Mara, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, ia meliputi pembiayaan Mara seperti Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE), Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPIM), Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dan Skim Dananita.

Selain itu, katanya, sebanyak 521 penyewa premis Mara Kelantan telah mendapat manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 juta melibatkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dan moratorium.

"Untuk Skim Dananita, sehingga kini RM810,000 telah diluluskan, sekali gus memberi manfaat kepada seramai 30 usahawan wanita negeri ini, manakala untuk S3P pula sebanyak RM2.48 juta dan memberi manfaat kepada 80 usahawan di Kelantan.

"Mara sentiasa memberi manfaat kepada mereka yang terlibat dengan pelbagai inisiatif dan bantuan bersesuaian. Kita telah menghampiri bajet 2022 dan kita yakin pakej ini akan diperluaskan lagi selepas ini," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyampaian Inisiatif Bantuan Tambahan Pemulih di Pusat Pengurusan Kawasan Industri Mara, Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.

Sementara itu, Fared berkata, pihaknya juga menyediakan platform secara maya untuk komuniti usahawan agar mereka sentiasa mendapat informasi terkini mengenai program keusahawanan.

Beliau berkata, program seperti Biznetwork serta beberapa siri pemasaran secara dalam talian yang disediakan khusus untuk usahawan, secara tidak langsung membantu mereka memasarkan produk melalui norma baharu.

"Bagi mereka yang berniaga dalam talian, kita juga menyediakan kursus perniagaan setiap bulan secara percuma. Selepas itu mereka boleh mempromosi dan memasarkan produk mereka melalui platform Jana Niaga yang kita sediakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga ada menyediakan pinjaman untuk mereka. Pelbagai manfaat boleh diperolehi jika menggunakan sebaik mungkin ruang dan peluang disediakan," katanya.