Pochettino rancang turunkan Messi, Neymar berdepan Club Brugge

Messi (kiri) dan Neymar menjalani latihan menjelang aksi berdepan Club Brugge. - Foto wsj.com
Messi (kiri) dan Neymar menjalani latihan menjelang aksi berdepan Club Brugge. - Foto wsj.com
A
A
A

PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino memberi bayangan bahawa Lionel Messi dan Neymar diturunkan pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Club Brugge pada Khamis.

Menurut Pochettino kedua-dua pemain berkenaan telah kembali ke pangkuan pasukan setelah menyelesaikan tugasan untuk aksi kelayakan Piala Dunia bersama negara masing-masing, baru-baru ini.

“Messi dan Neymar baru tiba di Paris pada Sabtu. Saya amat gembira kerana kedua-duanya tidak berdepan masalah fizikal biarpun agak kepenatan.

“Kedua-dua pemain ini akan ‘dipersiapkan’ bagi mengharungi aksi Liga Juara-Juara menentang Club Brugge nanti," kata Pochettino.

Kedua-dua bintang Les Parisiens itu tiada dalam senarai ketika gergasi Ligue 1 tersebut melakar kemenangan 4-0 ke atas Clermont Foot di Le Parc des Princes.

Bagaimanapun untuk rekod, Neymar telah pun diturunkan ketika berdepan Stade de Reims 30 Ogos lalu, manakala Messi melakukan debut bersama Les Parisiens ketika berdepan Stade Aguste-Delaune II selaku pemain gantian sebelum kedua-dua pemain tersebut dilepaskan untuk beraksi bersama Brazil dan Argentina bagi aksi kelayakan Piala Dunia.

Sepanjang ketiadaan Neymar dan Messi, tanggungjawab peledak depan diberikan kepada Kylian Mbappe yang turut mencetak gol ketika membelasah Clermont Foot.

Mengulas mengenai hattrik Messi pada aksi kelayakan Piala Dunia baru-baru ini, Pochettino menyifatkan ia satu petanda baik buat skuad kendaliannya itu bagi berdepan Club Brugge.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Messi sudah pasti mahu meneruskan aksi cemerlangnya dengan menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan pasukan.

"Saya mengakui tidak menyaksikan perlawanan itu, tetapi saya tahu ia adalah sesuatu perkembangan yang baik buat Messi dan dia kini pastinya bersemangat untuk terus menjaringkan gol," katanya.