Dua kapal berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Kapal tangki yang ditahan Maritim Malaysia Johor kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur pada Sabtu.
Kapal tangki yang ditahan Maritim Malaysia Johor kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor telah menahan dua kapal yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur pada Khamis dan Sabtu lalu.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan kapal tangki dan kapal kargo itu dilakukan oleh aset Maritim pada kedudukan 15 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Johor.

"Penahanan pertama pada Khamis lalu dilakukan terhadap sebuah kapal kargo berdaftar dari Liberia yang dikendalikan oleh 22 kru warga Filipina berumur antara 24 hingga 50 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Tidak jauh dari lokasi kapal kargo yang ditahan itu, sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Vietnam pula ditahan pada Sabtu. Kapal tangki ini membawa 27 kru warga Vietnam berumur antara 20 hingga 47 tahun serta mempunyai pengenalan diri yang sah," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut Nurul Hizam, kedua-dua nakhoda kapal mendakwa tidak mengetahui bahawa mereka sedang bersauh di dalam perairan Malaysia dan tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

"Pemilik dan nakhoda kapal dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat yang jelas dan tepat mengenai batas perairan negara sebelum bersauh di suatu kawasan," katanya.

Artikel Berkaitan: