MBNP syor Pahang wujudkan Enakmen Ombudsman

Mohd Izzat Afifi (kiri) dalam satu pertemuan dengan Wan Rosdy (kanan) di pejabat Menteri Besar di Wisma Sri Pahang.
Mohd Izzat Afifi (kiri) dalam satu pertemuan dengan Wan Rosdy (kanan) di pejabat Menteri Besar di Wisma Sri Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) mencadangkan Jawatankuasa Ombudsman diinstitusikan dengan mewujudkan Enakmen Ombudsman di negeri ini.

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, cadangan itu bagi menjadikan Pahang sebagai contoh kepada negeri dan kerajaan Persekutuan supaya komited dalam memastikan ketelusan dalam pentadbiran dan berintegriti.

Menurutnya, kewujudan Jawatankuasa Ombudsman Pahang ini adalah satu langkah yang tepat dilakukan oleh kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Kita selaku antara lembaga swadaya masyarakat yang bergabung di bawah gerakan Rasuah Busters menyokong penuh usaha kerajaan Pahang.

"Ini memastikan pentadbiran yang lebih telus, dan berintegriti selain mampu memastikan gejala rasuah dalam kalangan kakitangan awam dapat dibendung.

"Kewujudan Jawatankuasa Ombudsman ini dapat memastikan sebarang pelaporan dan aduan awam dapat berjalan dengan lebih baik, tersusun sekali gus memberikan keyakinan kepada masyarakat awam untuk membuat aduan sekiranya terdapat sebarang masalah mahupun aduan berkaitan jabatan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Izzat Afifi berharap agar kewujudan jawatankuasa ini disegerakan dan disebarluaskan kepada masyarakat awam agar fungsinya dapat berjalan seperti mana yang dihajatkan.

Pada Jumaat, Wan Rosdy mendedahkan kerajaan Pahang telah menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) dalam memperkukuh kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dalam urusan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.

Katanya, Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dilantik sebagai urus setia kepada JONP bagi mengadakan mesyuarat berkala untuk menangani isu-isu berkaitan di bawah bidang kuasanya.

Artikel Berkaitan:

JONP adalah model digunapakai kerajaan Sarawak, yang merupakan perintis dalam kalangan negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan untuk memperkenal dan melaksanakannya.