Kejayaan Terbuka US ibarat mimpi jadi nyata

Raducanu juara perseorangan wanita Kejohanan Terbuka US 2021. foto: EPA
Raducanu juara perseorangan wanita Kejohanan Terbuka US 2021. foto: EPA
A
A
A

PEMAIN ranking ke-150 dunia, Emma Raducanu dari Great Britain menyifatkan kejayaannya muncul juara Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (US) pada Sabtu, ibarat mimpi yang menjadi kenyataan.

Menurut pemain berusia 18 tahun itu, kejayaan yang diraihnya itu tambah indah apabila ia turut mendapat penghargaan daripada daripada Ratu Elizabeth serta keluarga Diraja yang lain.

“Secara keseluruhannya, saya bagaikan bermimpi. Saya sememangnya selalu mengimpikan untuk memenangi kejohanan Grand Slam, dan kali ini ia benar-benar menjadi kenyataan.

“Terlalu sukar untuk saya mempercayainya, tetapi ia benar-benar berlaku. Lagi pun, perjalanan saya ke final bukannya mudah kerana berdepan dengan perlawanan-perlawanan yang sukar.

“Namun, saya berjaya melepasi semua itu dan saya kini sangat gembira kerana segala penat lelah saya telah menjadikan saya seorang juara hari ini,” katanya.

Untuk rekod, Raducanu turut melakar sejarah selaku pemain daripada pusingan kelayakan yang muncul juara bagi satu kejohanan Grand Slam apabila menewaskan pemain sensasi Kanada berusia 19 tahun, Leylah Fernandez 6-4, 6-3, pada Sabtu.

Malah difahamkan, kejayaan Raducanu kali ini bakal menyaksikannya melonjak naik pada kedudukan ranking ke-23 dunia, mulai Isnin.

Mengulas aksi final berdepan Fernandez, Raducanu mengakui dia berdepan tentangan sengit daripada pemain sensasi Kanada itu yang turut melakar kejutan apabila menumbangkan ramai pemain terkemuka dunia seperti pemain ranking ketiga dunia Naomi Osaka, Elina Svitolina (5) dan pemenang Grand Slam tiga kali.Angelique Kerber yang juga pemain ranking ke-17 dunia ketika ini dalam laluannya ke final.

Artikel Berkaitan:

“Ia perlawanan yang sukar. Kedua-dua pemain mempamerkan aksi bertenaga di sepanjang perlawanan.

“Leyla (Fernandez) seorang pemain tenis yang bagus dan sentiasa memberikan yang terbaik ketika beraksi,” katanya.