Ketua JSJ IPK Negeri Sembilan meninggal dunia

Allahyarham Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak
Allahyarham Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak
A
A
A

SEREMBAN - Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak, 59, meninggal dunia awal pagi Ahad akibat kesan sampingan selepas dijangkiti Covid-19 atau dikenali post Covid-19.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Yusof berkata, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban pada 8 Ogos lalu selepas dijangkiti Covid-19 dan dimaklumkan sudah sembuh daripada virus itu namun terpaksa bergelut dengan sindrom 'Long Covid'.

"Kita amat sedih dengan pemergian Allahyarham kerana merupakan seorang pegawai polis yang komited dalam tugas. Arwah seorang yang berpengalaman dalam urusan siasatan jenayah.

"Segala kebajikan ahli keluarga akan kami jaga mengikut keperluan semasa," katanya ketika dihubungi pada Ahad

Menurutnya, Allahyarham yang telah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 35 tahun itu akan menamatkan perkhidmatan (bersara wajib) pada 9 Oktober ini.

Menurut laporan, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 1.35 pagi akibat 'Covid-19 class SB with secondary infection'.

Arwah meninggalkan 10 anak dan seorang balu, Noor As Azura Md Aris yang kini menetap di Seremban 2.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Surau IPK Negeri Sembilan sebelum di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang pada jam 10 pagi.

Artikel Berkaitan: