Tapir betina terperangkap dalam longkang

Tapir betina seberat 300kg yang berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam longkang. – Foto Perhilitan
A
A

SHAH ALAM - Seekor tapir betina yang terperangkap dalam sebuah longkang di Kota Kemuning, di sini, berjaya diselamatkan Jabatan Perhilitan Selangor.

Memetik kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Perhilitan Selangor, kejadian itu dimaklumkan oleh orang awam.

"Jabatan Perhilitan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang, polis, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan orang awam telah berjaya mengeluarkan tapir tersebut pada jam 2.30 petang.

"Pegawai Veterinar Jabatan Perhilitan telah memberi rawatan awal dan memantau keadaan tapir tersebut," katanya.

Tambah kenyataan itu, tapir yang dianggarkan seberat 300 kilogram itu seterusnya dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai untuk sesi rawatan dan pemantauan lanjut.

Katanya, pihaknya ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan orang awam atas isu hidupan liar ini.