Sastera di tengah-tengah konflik kekuasaan

Di Malaysia, belum ada pengarang sastera yang dipenjarakan kerana sikap politiknya yang berlainan daripada pemegang tampuk kuasa.
Di Malaysia, belum ada pengarang sastera yang dipenjarakan kerana sikap politiknya yang berlainan daripada pemegang tampuk kuasa.
A
A
A

SEBUAH persoalan yang tidak pernah jemu-jemu dibincangkan dalam segala apa zaman pun, ialah tentang sastera dan hubungannya dengan kekuasaan.

Meskipun berlaku pasang surut kekuasaan yang dimiliki oleh kesusasteraan, ia tetap menjadi agenda utama wacana.

Globalisasi menyaksikan kekuasaan kesusasteraan semakin rencam dan komplikated.

Dunia semakin mengecil tetapi permasalahannya terus membesar.

Kini tanpa diminta, kita juga berada dalam suatu zaman, dengan situasi politiknya, yang tidak menentu dengan pelbagai wajah.

Konflik politiknya berbeza dengan yang silam. Semacam berebut-rebut untuk menjadi kepala negara. Partai politik pun banyak percaturannya.

Para pemimpin masing-masingnya dengan bijaklaksananya cuba mengatur negara. Pergerakannya bagaikan sedang meniti pada sebuah jambatan yang bergegar.

Tidak pasti apakah di hujungnya sebuah syurga atau neraka. Sukar diramal. Di tengah-tengah konflik begini, bagaimanakah sikap pengarang?

Artikel Berkaitan:

Jalan yang selamat, demi memelihara maqam pengarang ialah bersikap berhati-hati, atau menidurkan diri atau berkecuali.

Tidak menyebelahi mana-mana blok politik.

Pemimpin yang bercakaran bagaikan harimau dengan kucing, tiba-tiba sahaja boleh bertukar menjadi burung peliharaan.

Sikap menyebelahi sering memerangkap, justeru itu pengarang harus berdiri tegak dan penanya lurus dibungkus oleh idealisme kepengarangannya.

Namun, pernah wujud pengarang yang berkompromi dengan siasah, yang paralel dengan jiwa dan keyakinannya.

Pengarang itu bersatu dengan mana-mana sebuah politik negara.

Alias Ali dan Adam Abdul Hamid orang UMNO, Shahnon Ahmad dan Azizi Haji Abdullah orang Pas, Dharmala N.S. dan A. Samad Said rakan DAP.

Di sana mungkin ramai lagi yang menyebelahi mana-mana partai politik, tetapi hanya bersikap bungkam.

Dalam kurun ke-16 pemerintahan Ratu Elizabeth I, tercetus konflik antara blok pemimpin yang feudalis dan marhain serta pertelagahan borjuis dengan proletarian.

Fikiran bernas dipersembahkan oleh para pengarang cara mengatasi, dan menghapuskan amalan stratifikasi sosial itu.

Antaranya ialah seorang pengarang muda, melalui karya-karyanya dapat menyatukan masyarakat kota dan desa yang bertelagah itu. Kejayaannya mendapat penghormatan ratu, dengan menyediakanya segala kemudahan berkarya.

Sebagai dramawan, bukan sahaja berjaya merobohkan pertelingkahan, juga berhasil mengagungkan bangsa Inggeris, dan memartabat bahasanya berdaulat di seluruh dunia. Pemuda tersebut ialah William Shakespeare.

Dalam abad yang sama, dramatis Perancis berbeza fahaman, para pengarangnya menentang kerajaan Louis, yang mementingkan golongan borjuis dan memelihara tahktanya.

Pierre Corneille, Moliere dan Jean Racine mementaskan drama bertentangan dengan selera istana, terpaksa berkelana bersama masyarakat bawahan, yang memberi sokongan luar biasa.

Menyedari kuasa drama dapat mempengaruhi rakyat, maharaja berkompromi, menyediakan panggung dan memberi bonus bulanan yang lumayan.

Namun untuk beberapa tahun sahaja, dramatis itu terasa kehilangan barang paling berharga: kebebasan. Akhirnya dramawan itu kembali berteater untuk rakyat.

Inspirasi

Pengarang-pengarang moden seperti Henrik Ibsen dan Garcia Marques pernah dipenjara.

Politik yang meminggirkan keperluan rakyat, menjadi inspirasi dan bangun menentangnya, sehingga Ibsen ditangkap.

Marques yang bersahabat dengan Fidel Castro yang sosialis itu, berhadapan dengan presiden negaranya Columbia.

Karya-karyanya adalah refleksi gaya gerakan leftisnya, tegas dan nekad memerangi kemiskinan bangsanya.

Hal yang sama, terjadi kepada W.S.Rendra, tidak menyenangi pemerintahan Order Baru, dia mensihirkan rakyat dengan sajak-sajak politiknya, dan teater merahnya menentang negara, justeru ekonominya terperosok. Penyair itu ditangkap dan dipenjarakan.

Hamka juga dipenjara atas perintah Presiden Soekarno, dituduh memburukkan karya-karya Pramoedya Ananta Toer yang realisme sosialis itu.

Hamka menerimanya dengan tenang, meskipun Pramoedya Ananta Toer telah menghancurkan karya Islamiknya.

Taufiq Ismail mengkritik kerajaan dengan puisi tersohornya Malu (aku) Jadi Orang Indonesia (1998), sebagai petanda tentangannya terhadap kebobrokan politik negaranya.

Begitulah kesusasteraan selalu dihubungkaitkan dengan politik, juga dengan unsur sejarah kekuasaan; justeru kedua-duanya itu mempunyai pertalian dengan konsep nilai dan tamadun sesuatu bangsa.

Karya sastera yang baik, teradun di dalamnya unsur-unsur sejarah dan analisis tentang politik.

Meskipun golongan strukturalisme dan teori pascastrukturalisme mengabaikan sejarah, isi teks tetap mengandung gejolak politik.

Teori new historisisme dan teori studi budaya kemudiannya, mengembalikan semula peranan sejarah dan meletakkan politik sebagai juara wacana.

Juteru itu, kuasa politik sesuatu bangsa dirantai oleh kuasa sejarahnya. Sebagai contoh, kuasa politik Malaysia ini, pada dasarnya dipegang oleh orang-orang Melayu, kerana mereka adalah bumi putera negara ini.

Nasionalisme

Hakikat bahawa orang-orang Melayu menjadi yang dipertuan negara ini tidak siapa dapat menafikannya.

Tercatat dalam lipatan sejarah, bumi ini pada asal-asalnya adalah milik orang Melayu.

Dan kekuasaan politik Melayu, juga akan terus dipertahankan.

Nasionalisme pengarang Melayu itu tumbuh, sebagai kolektif bawah sedar dan imej primordial, konsepsi golongaan arketaipal dan psikoanalisis Lacan yang patriotik itu.

Negara kita, pengarangnya belum pernah dipenjarakan kerana sikap politiknya.

Maharaja Beruk oleh Yahaya Ismail dan Shit oleh Shahnon Ahmad membawa konflik pemimpin, tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Ini bermakna pengarang Malaysia mempunyai kekuasaan dan kebebasan yang tinggi.

Juga menunjukkan kebijaksanaan, kedua-duanya menulis teks dengan teknik satira dan semiotik. Menikam dengan tajam tetapi darahnya tersembunyi.

Pengarang Barat cepat memberi reaksi. Mengenal pasti dan mencari posisi. Sikap berkecuali sering dianggap sebagai pengecut.

Mereka bersedia menghadapi risiko, andainya pilihannya tidak tepat.

Sasterawan tanah air tidak perlu terikut-ikut dengan Barat, budaya dan situasi politiknya tidak sama.

Seandainya, telah jelas dan terbukti kezaliman berlaku, maka pengarang Malaysia akan bangun seperti dalam peristiwa Keranda 152 dan isu Telok Gong.

Pertembungan antara pemimpin yang jujur, ikhlas dan amanah bersetentang dengan yang zalim, penindas dan yang cauvanistik, sering menjadi subjek karya di seluruh dunia.

Negara menjadi besar, aman dan makmur di tangan pemimpin yang dekat hatinya kepada rakyat. Kucar kacir dan kacau balau yang mendahului kepentingan diri dan keluarga.

Dikotomi dalam kekuasaan dan politik berlaku di mana sahaja dalam sepanjang sejarah manusia.

Sesungguhnya pengarang mempunyai kuasanya tersendiri.

Suara dan penanya akan digunakan berhadapan dengan si petualang, Di tangannya ada keris sebagai lambang kekuasaan kesusasteraan.

Namun, pengarang sering dihormati kerana mengambil sikap yang bijak dan adil apabila berhadapan dengan sesebuah kemelut politik.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia