SPRM, JPN perlu bebas pengaruh eksekutif

Muhammad Mohan semasa program pelancaran Politik #Malaysia Tanpa Rasuah di Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Muhammad Mohan semasa program pelancaran Politik #Malaysia Tanpa Rasuah di Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diletakan sebagai sebuah institusi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan bertanggungjawab kepada Parlimen bagi meningkatkan keyakinan terhadap fungsi dan kedudukannya yang bebas daripada sebarang bentuk pengaruh atau kuasa eksekutif.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, institusi tersebut perlu melakukan perubahan segera untuk menjamin ketelusan yang luas dan persekitaran tadbir urus yang tinggi serta memberikan kebebasan kuasa dalam menjalankan tugas dengan adil tanpa pengaruh eksekutif atau politik.

“Buat masa ini SPRM sebagai sebuah suruhanjaya yang mempunyai kongsi berdasarkan Akta iaitu Akta SPRM 2009.

“Jadi apa yang kami tuntut adalah ia perlu diletakan sebagai sebuah suruhanjaya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan bertanggungjawab kepada Parlimen,” katanya dalam program pelancaran Politik #Malaysia Tanpa Rasuah di Karangkraf pada Sabtu.

Pihak Rasuah Busters bersama lebih 400 gabungan meneruskan misi membawa transformasi nilai melalui inisiatif Politik #MalaysiaTanpaRasuah dengan membawa Enam Tuntutan sebagai usaha memastikan transformasi perundangan, struktur institusi dan tadbir urus Negara dapat dicapai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah tersebut secara tidak langsung akan memulihkan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya yang dilakukan menerusi Parlimen.

Tambahnya, di bawah Seksyen 5 Akta SPRM 2009, Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Situasi ini dilihat jadi masalah dan satu kekangan yang serius kerana kebebasan SPRM terjejas apabila pemilihan calon itu tertakluk di bawah kuasa Perdana Menteri yang secara langsung dan tidak langsung mengikat perjalanan suruhanjaya itu dengan bebas tanpa sebarang bias,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, fungsi dan perjalanan pendakwa raya dalam Jabatan Peguam Negara (JPN) perlu dikeluarkan bagi memperkukuhkan institusi tersebut.

“Buat masa ini peguam negara di Malaysia mempunyai dua peranan berasingan dan berbeza dibawah Perlembagaan Persekutuan beliau adalah satu penasihat undang-undang kepada kabinet ataupun kerajaan serta pada masa yang bertindak sebagai pendakwa raya.

“Sebagai pendakwa raya di bawah JPN, mereka dikehendaki bertindak secara bebas dan tidak berat sebelah serta menjaga kepentingan awam tanpa pertimbangan politik.

“Jadi peguam negara kini berada dalam kedudukan yang bercanggah dengan kepentingan yang tidak dapat dielakan dan apabila kepentingan kerajaan tidak bersesuaian dengan kepentingan awam,” katanya.

Jelas Muhammad Mohan, perubahan dua institusi tersebut dapat mengurangkan ketirisan, pembaziran dan rasuah dan sebaliknya dana itu boleh disalurkan kepada sektor kesihatan, pendidikan serta membantu orang yang memerlukan.