Zaman Khan pegawai yang komited, berintegriti tinggi: Tun Hanif

Tun Mohammed Hanif Omar - Foto Bernama
Tun Mohammed Hanif Omar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jenazah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini sekitar jam 5.30 petang pada Sabtu.

Mantan Ketua Polis Negara yang keempat, Tun Mohammed Hanif Omar berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang besar buat masyarakat dan dirinya secara peribadi.

Menurutnya, sifat Allahyarham yang sentiasa komited dan integritinya yang tinggi wajar dicontohi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) masa kini.

"Allahyarham seorang yang sangat berintegriti dan tidak pernah kenal erti kalah atau berputus asa yang boleh dicontohi. Ini adalah kehilangan besar untuk kita dan saya secara peribadi," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan pemergian Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun, di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 10.15 pagi Sabtu.

Jenazah Allahyarham Zaman Khan dibawa ke tanah perkuburan selepas selesai diuruskan dan disolatkan di Masjid Bukit Aman pada Sabtu.
Jenazah Allahyarham Zaman Khan dibawa ke tanah perkuburan selepas selesai diuruskan dan disolatkan di Masjid Bukit Aman pada Sabtu.

Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal bulan lalu selepas dilaporkan pengsan ketika menunggu janji temu dengan doktor.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Allahyarham merupakan watak penting dalam menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi sewaktu beliau berkhidmat sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman dari tahun 1989 hingga 1993.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita ingat insiden Red Army misalnya, Bentong Kali dan banyak lagi, ia membabitkan komitmen penuh beliau," ujarnya.

Antara penjenayah berprofil tinggi yang berjaya beliau tumpaskan adalah Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin dan pembunuh terkenal era 90an Bentong Kali yang ditembak mati pada 29 Jun 1993.