Tunjuk hasil buluh, nanas sebelum lupakan kelapa sawit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melaksanakan tanaman baharu yang berpontensi menggantikan kelapa sawit sebelum cadangan itu disarankan kepada golongan pekebun.

Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Ke-2 Felda (SGK2F), Mohd Stap Othman berkata, Kementerian Industri Utama seharusnya mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya cadangan menanam tanaman lain dapat direalisasikan sekali gus menjadi panduan kepada rakyat.

"Semalam (kelmarin) kerajaan mencadangkan pekebun beralih kepada tanaman lain seperti buluh dan kelapa bagi menggantikan penanaman kelapa sawit.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pekebun kecil perlu cari tanaman alternatif selain sawit

Kenyataan Teresa merujuk kawasan bersesuaian di Pahang

"Saya fikir, adalah lebih baik pihak kerajaan tanam dahulu buluh atau kelapa. Jika hasilnya positif dan maju maka ia akan mendorong golongan pekebun mengikut langkah kerajaan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim yang mencadangkan pekebun kecil beralih kepada tanaman baharu seperti kelapa, nanas atau buluh.

Artikel Berkaitan:

Langkah tersebut adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap hasil tanaman kelapa sawit sebagai produk komoditi negara termasuk menghentikan peluasan penanaman tanaman itu.

Inisiatif itu dikatakan untuk membantu meringankan beban pekebun kecil yang terkesan dengan kejatuhan harga minyak sawit pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Stap berkata, sekiranya harga komoditi itu rendah, kerajaan harus berusaha mencari solusi mempelbagaikan produk keluaran kelapa sawit berbanding menghentikan peluasan penanamannya.

"Lagipun proses menanam kelapa, buluh dan nanas tidak boleh dilakukan sesuka hati khususnya di kawasan Felda jika syarat atau sifat tanah itu hanya sesuai untuk tanaman kelapa sawit dan getah," tegasnya.

Semalam, Teresa dalam satu kenyataan menjelaskan, kenyataannya supaya pekebun kecil mencari alternatif lain dengan tidak bergantung kepada kelapa sawit semata-mata sebagai produk komoditi negara adalah merujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di Pahang.

Beliau berkata, kenyataannya itu merujuk kepada beberapa kawasan di Pahang yang kebetulannya mempunyai banyak buluh.