Wabak Polio diisytihar tamat di Malaysia

Khairy Jamaludin - Foto Bernama
Khairy Jamaludin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengesahkan wabak Polio di Malaysia diisytihar tamat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata,perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura dalam perutusan rasminya kepada KKM pada 10 September lalu.

Beliau berkata, pengisytiharan itu dilakukan berdasarkan penilaian oleh pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa yang melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio dijalankan di Malaysia.

"Berdasarkan penilaian tersebut, usaha Malaysia dalam kawalan dan pencegahan wabak tersebut diiktiraf sebagai berjaya sekali gus menghentikan penularan wabak polio.

"Pada penghujung tahun 2019, Malaysia dikejutkan dengan pengesahan satu kes polio yang dikesan di Sabah, selepas 27 tahun negara bebas daripada kes polio di Malaysia.

"Susulan pengesahan kes polio tersebut, usaha pencegahan dan kawalan wabak polio giat dijalankan serta masih diteruskan walaupun negara turut dilanda pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Untuk rekod, penyakit polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal sepanjang hayat serta mampu menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Rembau itu berkata, KKM turut mempertingkatkan usaha pengesanan kes polio menerusi survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"AFP merupakan gejala akut menyerupai polio yang dipantau oleh KKM bagi mengesan kes polio

"Dalam aktiviti survelan ini, setiap kes AFP dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun diambil sampel najis untuk mengesan virus polio," katanya.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, dari 1 Januari 2019 hingga 9 September lalu, sebanyak 426 kes AFP dilaporkan di seluruh negara.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, empat kes disahkan polio di mana kesemuanya dilaporkan di Sabah, masing-masing berumur tiga bulan, tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun ketika mereka disahkan dijangkiti polio.

"Kes yang terakhir mula mengalami gejala kelumpuhan pada 18 Januari 2020 dan kes-kes yang disahkan polio ini didapati tiada atau tidak lengkap imunisasi polio.

"KKM juga menjalankan persampelan air kumbahan bagi mengesan kehadiran virus polio dalam persekitaran," katanya.

Tambah beliau lagi, daripada tempoh berikut juga, sebanyak 1,124 sampel air kumbahan diambil di seluruh negara dengan 25 sampel yang diambil di Sabah dikesan mempunyai virus polio dan satu sampel dari Labuan dengan sampel persekitaran terakhir dikesan virus polio adalah pada 1 Julai2020.

Dalam pada itu, Khairy berkata, KKM turut mengambil beberapa tindakan pencegahan dan kawalan wabak Polio melalui Jabatan Kesihatan Negeri yang menjalankan Kempen Imunisasi Polio bagi menghentikan penularan virus polio dan mencegah kejadian kes polio.

"Kempen Imunisasi Polio di Sabah (KIPS) dilaksanakan secara berperingkat semenjak 27 Disember 2019 sehingga 20 Januari 2021, melibatkan pemberian vaksin oral polio (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh negeri Sabah.

"Selain itu, sebanyak dua dos vaksin bivalent oral polio jenis 1 dan 3 (bOPV) dan dua dos vaksin monovalent oral polio jenis 2 (mOPV2) diberikan secara titisan ke dalam mulut," katanya.

Tegas Khairy, melalui kempen imunisasi polio itu, seramai 809,261 orang kanak-kanak menerima dua dos vaksin bOPV, manakala 784,062 orang kanak-kanak menerima dua dos vaksin mOPV2.

"Di Labuan pula, Kempen Imunisasi Polio Labuan (KIPL) dijalankan dari 11 Jun 2020 hingga 6 November 2020 melibatkan pemberian dua dos vaksin bOPV dengan mensasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh kawasan itu.

"Seramai 24,297 orang kanak-kanak menerima dua dos vaksin bOPV di WP Labuan," jelasnya.

Selain itu, menurut beliau, imunisasi polio melalui Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) diteruskan di seluruh negara bagi bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan optimum daripada jangkitan polio.

"Imunisasi polio ini diberikan melalui suntikan vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib) (yang mengandungi komponen antigen polio) kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan.

'Pada penghujung tahun 2020 berlaku sedikit perubahan dalam jadual PIK di mana vaksin lima serangkai ini ditukar kepada vaksin enam serangkai (DTaP-IPV/HepB/Hib)," katanya.

Dalam kenyataan sama, Khairy Jamaluddin turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga KKM terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Jabatan Kesihatan Labuan.

"Mereka ini adalah wira barisan hadapan yang menjayakan usaha untuk menamatkan wabak polio, walaupun pada masa yang sama turut berjuang untuk mengawal pandemik Covid-19.

"Sesungguhnya dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan tanpa mengira penat lelah bagi memastikan setiap kanak-kanak di dalam negara kita terpelihara daripada jangkitan polio adalah usaha yang mulia dan amat dihargai.

"Penghargaan juga diberikan kepada badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation, WHO), United Nations Children’s Fund (UNICEF) dan Global Polio Eradication Initiative (GPEI) yang turut sama membantu Malaysia dalam usaha mengawal wabak polio di negara kita," katanya.

Susulan kejayaan menamatkan wabak polio di Malaysia, beliau berharap agar oramg ramai perlu terus berwaspada kerana masih terdapat negara di dunia yang belum bebas daripada jangkitan polio.

"Kita perlu pastikan liputan imunisasi polio sentiasa tinggi bagi mengekalkan imuniti kelompok terhadap jangkitan polio dan seterusnya Malaysiaterhindar daripada ancaman wabak polio pada masa akan datang.

"Disamping itu, KKM akan memastikan survelan AFP dan survelan persekitaran yang berkualiti terus dilaksanakan supaya sebarang kes polio dapat dikesan.

"Marilah kita bersama-sama memainkan peranan kita dalam memastikan Malaysia kekal bebas polio. Kekalkan liputan imunisasi yang tinggi termasuk imunisasi polio setiap masa," katanya.