Polis rampas dadah lebih RM1.48 juta

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Polis merampas lebih 41.19 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.48 juta dalam serbuan di sebuah syarikat penghantaran barang di Jalan Sin Onn di sini pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner ACP Peter Umbuas berkata, rampasan pada jam 12.30 tengah hari itu dibuat hasil maklumat daripada seorang suspek berusia 49 tahun yang ditahan bersama 303.15 kg syabu di Kampung Batu Payung pada 6 September lepas.

“Sebaik mendapat maklumat polis menyerbu syarikat berkenaan dan hasil pemeriksaan di dalam sebuah kontena, polis menemukan enam kotak mengandungi 13 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 41.195 kg dadah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, tiada tangkapan dibuat dalam serbuan itu.

Beliau berkata, kes itu merupakan susulan daripada penahanan seorang lelaki pada 6 September lepas bersama dadah bernilai lebih RM10 juta di Kampung Batu Payung selepas dikejar polis dari Kampung Membalua semasa cuba meloloskan diri. - Bernama

Artikel Berkaitan: