Anak penyu karah sesat diselamatkan orang awam

Jezzrel (kiri), Doreen Wee (dua kiri) ketika menceritakan penemuan penyu tersebut. - Foto Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
Jezzrel (kiri), Doreen Wee (dua kiri) ketika menceritakan penemuan penyu tersebut. - Foto Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
A
A
A

PORT DICKSON - Sebanyak 32 anak penyu karah yang baru menetas ditemui berkeliaran di laluan pejalan kaki di pantai Batu 4, di sini dipercayai tersesat jauh mencari arah ke laut pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, anak penyu itu ditemui kira-kira jam 2 pagi oleh orang awam bernama Jezzrel Pereira dan rakannya yang melalui lokasi berkenaan sebaik selesai bekerja.

"Disebabkan bimbang keselamatan anak-anak penyu itu, mereka yang menemuinya bertindak segera menyelamatkan anak penyu itu sebelum dilepaskan ke laut.

"Kejadian ini dilaporkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) seterusnya diajukan kepada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Kata Halimi, pihaknya yang diketuai oleh Doreen Wee dari Pusat Ikan Hiasan Port Dickson dan anggota APM bergegas ke tempat kejadian berjaya menemui seekor lagi anak penyu yang masih hidup untuk diselamatkan.

"Penyu ini adalah daripada spesies penyu karah iaitu Eretmochelys Imbricata dan ia merupakan kes kedua penemuan anak penyu menetas oleh orang awam di pantai Port Dickson tahun ini. Kejadian pertama berlaku di pantai Bagan Pinang bulan lepas," katanya.

Anak penyu karah yang ditemui. - Foto Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
Anak penyu karah yang ditemui. - Foto Jabatan Perikanan Negeri Sembilan

Jelasnya, anak penyu lazimnya menetas di pantai ketika malam yang gelap, lalu bergerak ke arah laut.

Artikel Berkaitan:

"Ancaman lebih besar berlaku terhadap anak-anak penyu ini di pantai peranginan Port Dickson memandangkan ia popular dalam kalangan pelancong sehingga dikhuatiri boleh mati dilanggar kenderaan atau dipijak.

"Selain itu, sekiranya anak penyu ini masih gagal sampai ke gigi pantai, ia dibimbangi dimakan anjing dan burung, atau diambil oleh orang awam yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Jezzrel dan rakan-rakannya yang membantu menyelamatkan anak-anak penyu berkenaan.

"Terima kasih juga kepada orang awam yang turut sama menjaga dan memulihara spesies terancam yang amat dilindungi ini di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985.