X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

KASA atur pertemuan Pulau Pinang, Kedah bincang solusi terbaik

Mansor (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa ribut di Kampung Tasek Cempedak.
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan mengaturkan pertemuan bersama kerajaan Kedah dan Pulau Pinang bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Kedah Aerotropolis.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mansor Othman berkata, mesyuarat khas yang akan melibatkan pihak tertinggi kedua-dua kerajaan negeri itu termasuk wakil daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari solusi menang-menang antara dua negeri berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua negeri mempunyai pandangan dan hujah masing-masing atas kepentingan projek itu terutamanya berkaitan isu Sungai Muda yang bakal terkesan berikutan pembinaan projek itu nanti.

"Kita akan dengar hujah dari kedua-dua belah pihak dan cuba mencari penyelesaian secara menang-menang.

"Hal ini kerana, projek KXP itu akan memberi kesan untuk kedua-dua belah pihak sebab kita semua bergantung kepada sumber air mentah di Sungai Muda dan pastinya kita tidak mahu berlaku sebarang gangguan yang akan memberi kesan kepada penduduk di kedua-dua negeri ini," katanya ketika ditemui media di sini selepas majlis penyampaian bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Tasek Cempedak di sini pada Sabtu.

PBAPP sebelum ini menggesa agar KASA meminta kerajaan Kedah memindahkan cadangan pembinaan KXP dan Kedah Aerotropolis ke lokasi yang lebih selamat dan jauh dari Sungai Muda.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang dijalankan menyatakan projek itu akan memberi ancaman terhadap kelestarian perkhidmatan bekalan air yang berterusan di Pulau Pinang dan selatan Kedah.

"Laporan EIA menyatakan bahawa fasa pembinaan boleh menyebabkan pengelodakan, pemendapan, pencemaran air mentah, toksifikasi air sungai, penurunan kualiti air dan eutrofikasi (pencemaran air disebabkan oleh kepekatan fosforus, nitrogen dan nutrien tumbuhan lain).

"Seterusnya, fasa operasi juga menimbulkan risiko dan ancaman yang sama untuk jangka panjang, menurut laporan EIA," katanya.

Dalam pada itu, Mansor yang juga merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM300 kepada 32 mangsa ribut di Kampung Tasek Cempedak dan Kampung Tasek Maju pada Jumaat.

Katanya, pusat khidmat Nibong Tebal juga turut mengadakan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zakat Pulau Pinang dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha meringankan beban mangsa ribut baru-baru ini.

"Bagi membantu mangsa yang terjejas, pihak saya juga turut mengambil inisiatif bersama Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri Pulau Pinang untuk turun padang serta menilai segala kerosakan sebelum kerja-kerja baik pulih dimulakan dalam masa terdeka," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!