APMM aktifkan SAR cari pemancing hilang di laut

A
A

LAHAD DATU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot pam dinaiki bersama rakannya dipukul ombak pada Sabtu lepas.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mangsa hilang Herman Gasim, 31, bersama rakannya Mazlan Mohamad keluar memancing sebelum bot dinaiki karam, lebih kurang dua batu nautika dari pantai Kampung Bangigod, Tungku dekat sini pada 12.50 tengah hari.

"Namun rakan mangsa, berjaya berenang ke daratan berhampiran dan membuat laporan kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bertindak daripada laporan tersebut, Abdul Muhaimin berkata SAR diaktifkan pada pukul 6 pagi semalam.

"Operasi itu melibatkan empat aset laut daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam," katanya lagi.

Bagaimana pun, menurutnya sehingga 6 petang semalam, mangsa belum ditemui dan operasi SAR diteruskan hari ini merangkumi kawasan seluas 86 batu nautika persegi. -Bernama