Aliran masuk bersih modal pelabur asing petanda pemulihan ekonomi

Tengku Zafrul - Foto Bernama
Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia terus mencatatkan aliran masuk bersih modal pelabur asing didorong kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam serta membenarkan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun ekonomi Malaysia akan terus berhadapan dengan cabaran ekoran peningkatan kadar jangkitan yang berterusan, kemajuan positif vaksinasi dan pengawalan kes Covid-19 yang kritikal dijangka akan mendorong pertumbuhan.

Jelasnya, beberapa negeri telah beralih ke Fasa 2 dan 3 PPN termasuk Lembah Klang dan Putrajaya yang telah beralih ke Fasa 2 pada Jumaat, yang akan membolehkan pembukaan ekonomi yang lebih meluas bagi negeri-negeri dengan populasi yang padat.

Menurut beliau lagi, prospek pertumbuhan yang lebih baik itu telah mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia.

"Pada Ogos, sejumlah RM7.7 bilion telah dicatatkan dari segi aliran masuk modal pelabur asing. Ini merupakan nilai yang tertinggi semenjak Jun 2020, dan telah mengimbangi aliran keluar bagi dua bulan sebelum itu.

"Pelabur asing telah menjadi pembeli utama dengan pelaburan bersih di pasaran bon Ringgit sejumlah RM6.6 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion), dan RM1.1 bilion (Julai 2021: -RM1.3 bilion) bagi pasaran ekuiti negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menyentuh berkaitan pasaran bon ringgit, Tengku Zafrul berkata, aliran masuk pelabur asing pada Ogos 2021 tertumpu kepada terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang bernilai RM3.1 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion); dan terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sejumlah RM3.2 bilion (Julai 2021: RM425 juta).

Bagi pasaran bon korporat pula, aliran masuk pelabur asing juga telah mencatatkan nilai yang lebih tinggi, iaitu RM267 juta (Julai 2021: +RM62 juta).

Artikel Berkaitan:

Setakat hujung Ogos 2021, pegangan pelabur asing bagi bon kerajaan Malaysia meningkat sebanyak RM23.9 bilion kepada RM226.1 bilion merangkumi RM191.7 bilion atau 40.3 peratus dari jumlah MGS dan RM34.4 bilion atau 8.6 peratus daripada jumlah MGII.

Katanya lagi, setakat akhir Jun 2021, lebih daripada 50 peratus pegangan bagi bon kerajaan Malaysia dipegang oleh pelabur jangka panjang iaitu pelbagai bank-bank pusat dan kerajaan (32.4 peratus); dana persaraan (18.4 peratus) dan syarikat insurans (2.2 peratus).

Dari segi pelabur tempatan pula, pegangan bon kerajaan disokong oleh kecairan yang mencukupi oleh institusi perbankan, serta pelabur institusi.

Ujarnya, berbanding tahun-tahun yang lalu, semua segmen pasaran bon ringgit telah menunjukkan penambahbaikan yang teguh walaupun berhadapan dengan cabaran berkait dengan Covid-19.

"Ini telah digambarkan oleh data kumulatif aliran masuk bersih pelabur asing pada akhir Ogos, yang mana sejumlah RM24.5 bilion telah dicatatkan.

"Secara keseluruhan, termasuk penerbitan terkini bon kerajaan pada 3 September 2021 yang mencatatkan BTC sebanyak 2.69 kali, menunjukkan BTC purata tahun ini adalah sebanyak 2.15 kali," jelasnya.