Bantuan segera RM10,000 baik pulih pejabat Pertis Kelantan

Ahmad Marzuk (kanan) menyampaikan sumbangan kotak makanan dan wang tunai kepada salah seorang penerima di Pejabat Pertis Kelantan di Beris Kubur Besar, pada Sabtu.
Ahmad Marzuk (kanan) menyampaikan sumbangan kotak makanan dan wang tunai kepada salah seorang penerima di Pejabat Pertis Kelantan di Beris Kubur Besar, pada Sabtu.
A
A
A

BACHOK - Kerajaan menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menyalurkan bantuan segera berjumlah RM10,000 bertujuan membaik pulih pejabat Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Kelantan di Beris Kubur Besar di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sumbangan itu dilihat satu keperluan kepada Pertis bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada 250 orang kurang upaya (OKU) penglihatan di bawah persatuan itu di negeri ini.

Katanya, lawatan ke Pertis Kelantan mendapati keadaan pejabat yang agak uzur dan perlu dibantu.

“Kami berbincang selepas melawat pejabat pertis yang uzur dan daif ini, ada beberapa keperluan yang dianggarkan dalam jumlah RM10,000 yang akan kami bantu.

“Bantuan tersebut untuk baik pulih dan tambahan peralatan pejabat,” katanya kepada pemberita di Pejabat Pertis Kelantan di Beris Kubur Besar di sini pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai RM150 setiap seorang kepada 250 OKU Pertis yang turut dihadiri Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Mahadi Awang.

Ahmad Marzuk berkata, pihaknya ingin memperkasakan lima pelan intervensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu memperkukuhkan komuniti Islam dan menangani isu berkaitan asnaf serta kemiskinan.

“Hari ini kami turun padang bersama Yadim dan Bank Islam dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disusun secara bersasar kepada asnaf.

Artikel Berkaitan:

“Bank Islam di bawah Tabung Haji yang turut berada di bawah Jabatan Agama Perdana Menteri diarahkan supaya turun menyalurkan dan membantu kumpulan sasar dengan menggunakan peruntukan CSR yang disediakan,” katanya.