Jangkitan Covid-19 menurun kepada 19,550 kes hari ini

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 19,550 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lepas sedikit menurun berbanding 21,176 kes pada Jumaat.

Pertambahan itu bermakna jumlah kumulatif kes Covid-19 negara adalah 1,960,500 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Sarawak kekal merekodkan kes harian tertinggi untuk enam hari berturut-turut dengan 3,743 kes pada Sabtu.

Selangor pula mencatatkan kes harian kedua tertinggi iaitu 2,416 kes, diikuti Johor (2,282); Sabah (2,163); Pulau Pinang (1,865); Kedah (1,390); Perak (1,354); dan Kelantan (1,320).

Negeri-negeri yang merekodkan kes harian baharu di bawah empat angka adalah Terengganu (953); Pahang (722); Kuala Lumpur (555); Melaka (490); Negeri Sembilan (198); Perlis (73); Putrajaya (24); dan Labuan (dua)

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 21,771 jumlah pesakit sembuh akibat jangkitan Covid-19 direkodkan pada Sabtu sekali gus melebihi kes baharu.

Katanya, perkembangan itu menjadikan kumulatif kes sembuh kini 1,700,733.

Beliau berkata, daripada 19,550 kes harian yang dilaporkan, 265 kes atau 1.4 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 19,285 kes atau 98.6 peratus lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah kes baharu juga, tujuh adalah kes import melibatkan lima warganegara dan dua rakyat asing manakala 19,543 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,153 warganegara dan 2,390 rakyat asing.

“Seramai 936 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 453 daripadanya perlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 28 kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam melibatkan 17 kluster di tempat kerja, enam kluster komuniti, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dan dua kluster pendidikan lain. - Bernama