Nazri sokong transformasi Parlimen

No Image Caption
A
A
A

KUALA KANGSAR - Usaha transformasi Parlimen dan pentadbiran yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar dilaksanakan bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa ahli politik.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tujuh tawaran transformasi yang dikemukakan itu amat baik seperti Rang Undang-undang Anti-Lompat Parti dan pelaksanaan Undi 18.

Menurutnya, tawaran tersebut harus diterima semua pihak termasuk pembangkang.

"Bagi saya, tawaran ini cukup baik kerana rakyat dan negara telah menjadi mangsa kepada perkara-perkara seperti lompat parti, individu menguasai sepenuhnya kuasa sebagai Perdana Menteri dan sebagainya.

"Majlis Pemulihan Negara bagi pemulihan ekonomi kita panggil semua. Tidak ada sebab pembangkang tolak tawaran itu melainkan mereka tidak ikhlas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin cawangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau di kediaman beliau di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan kemuka 7 tawaran transformasi Parlimen, pentadbiran

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, pelaksanaan Undi18 juga perlu dilaksanakan segera kerana golongan itu tidak boleh dinafikan hak untuk mengundi.

Menurutnya, golongan ini berhak untuk memilih masa depan mereka di dalam pilihan raya.

"Saya setuju, rakyat berumur 18 tahun diberikan hak untuk mengundi dan alasan mengatakan mereka belum matang tidak boleh diterima kerana ahli Parlimen dewasa pun tidak menunjukkan kematangan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Tidak wajar untuk pihak tertentu kata mereka tidak matang. Seeloknya pelaksanaan Undi18 ini segera dilaksanakan. Mereka hendak undi masa hadapan mereka," katanya.

Pada Jumaat, kerajaan mengemukakan tujuh tawaran untuk mewujudkan landskap politik baharu bagi melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Ismail Sabri ketika mengumumkan perkara itu berkata, tawaran itu meliputi Rang Undang-undang (RUU) Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen dan pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat serta pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.