Terpulang kepada mereka pilih pengganti saya: Nazri Aziz

Mohamed Nazri - Foto fail Bernama
Mohamed Nazri - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Ahli Parlimen Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyerahkan kepada Jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Rengas untuk menentukan penggantinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau yang mengumumkan persaraannya dari politik sebelum ini menjelaskan, tiada sebarang nama dicadangkannya secara peribadi kerana mahu jawatankuasa bahagian bebas memilih calon yang layak.

Menurutnya, pihak jawatankuasa UMNO bahagian sudah mengadakan mesyuarat pada tahun lalu membincangkan nama-nama calon bagi kerusi Parlimen Padang Rengas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh dan DUN Lubuk Merbau.

"Keputusan saya masih muktamad untuk tidak mahu bertanding pada PRU akan datang. Soal calon pengganti, saya serah kepada jawatankuasa bahagian untuk tentukan.

"Saya tak ada favourite (nama calon pengganti) dan tak mahu buat keputusan sendiri," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin cawangan di kawasan DUN Lubuk Merbau di kediamannya pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nazri Aziz akan bersara dari politik, tidak bertanding PRU15

Mohamed Nazri berkata, dalam keputusan mesyuarat jawatankuasa UMNO bahagian sebelum ini, namanya bersama ADUN Chenderoh merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Zainun Mat Noor dan Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid dicalonkan bagi kerusi Parlimen Padang Rengas.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, hasrat untuk berundur itu telah disuarakan kepada akar umbi melalui pertemuan dengan pemimpin di peringkat cawangan di kawasan DUN Chenderoh dan DUN Lubuk Merbau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelbagai maklum balas diterima termasuklah mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu berkata, keputusan untuk bersara itu bertujuan untuk memberi ruang kepada generasi muda sebagai pemimpin pelapis.

Pada 28 Ogos lalu, Mohamed Nazri mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 setelah enam kali memenanginya tanpa pernah kalah sekali gus bersara dari dunia politik.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, sudah tiba masa untuk beliau bersara dan sekarang adalah waktunya yang dilihat sesuai.