Fasa 2 PPN: Putrajaya kembali meriah

Orang ramai beriadah di Dataran Putrajaya hari ini selepas kebenaran rentas daerah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang beralih kepada Fasa 2 PPN bermula semalam. - Foto Bernama
Orang ramai beriadah di Dataran Putrajaya hari ini selepas kebenaran rentas daerah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang beralih kepada Fasa 2 PPN bermula semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Putrajaya kembali meriah dengan kehadiran orang ramai susulan kebenaran rentas daerah di Lembah Klang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat.

Bagaimanapun, orang ramai dilihat tetap mengambil pendekatan berhati-hati dengan melakukan kawalan pergerakan kendiri.

Mohamad Sharifuddin, 35, berkata, dia teruja dengan kelonggaran yang diberikan, namun mengingatkan diri supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menjaga jarak fizikal dan memakai pelitup muka jika berada di kawasan orang ramai bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

"Walaupun sekarang sudah boleh bebas bergerak dan rentas daerah tetapi orang ramai perlu ingat itu bukan bererti kita menang dalam melawan pandemik ini. Virus masih ada di sekeliling dan kita perlu menerima realiti hidup bersama virus Covid-19. Jadi, yang penting adalah sentiasa beringat untuk patuh SOP," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Mohamad, orang kurang upaya (OKU) berasal dari Kedah berkata, kesukaran bergerak tidak melunturkan semangat untuk bersama anak dan isteri melakukan aktiviti luar pada hari minggu kerana terlalu lama terperuk di rumah sejak Jun lepas, namun masyarakat perlu bijak memilih lokasi.

"Selain itu, orang ramai yang beriadah di luar buat sementara waktu ini lakukan aktiviti bersama keluarga dan saudara terdekat bukan dengan rakan-rakan. Bagi yang belum berkeluarga adalah lebih baik menjalankan aktiviti secara solo bagi mengurangkan risiko penularan. Dapat melakukan aktiviti di luar dah cukup syukur jadi orang ramai harus memanfaatkannya," katanya yang tinggal di Shah Alam.

Sependapat dengan Mohamad, Nur Firdaus Abdul Rahim, 38, berkata, orang ramai tidak alpa terhadap SOP walaupun kelonggaran diberikan kepada pengunjung kerana negara belum betul-betul bebas daripada Covid-19 dan aktiviti sepatutnya dilakukan bersama ahli keluarga berbanding berkumpul untuk tujuan lain.

"Selain itu, pendekatan peniaga di Putrajaya perlu dipuji kerana masing-masing mengekalkan SOP dengan membenarkan dua orang satu meja. Memang lega dapat keluar beriadah bersama keluarga kerana sudah terlalu lama berada di rumah.

Artikel Berkaitan:

“Kelonggaran ini satu nikmat yang besar, jadi orang ramai perlu manfaat dengan sebaiknya," katanya yang menjalankan aktiviti berbasikal bersama kakak, abang ipar dan anak buah.

Tinjauan di beberapa lokasi awam yang menjadi tumpuan meriah dengan aktiviti joging dan berbasikal.

Anggota polis juga dilihat melakukan pemantauan di Taman Saujana Hijau Presint 11 kerana berlaku peningkatan jumlah pengunjung bagi mengingati masyarakat sentiasa mematuhi SOP sama ada untuk aktiviti riadah atau pelancongan domestik. - Bernama