Corbyn gesa UK beku penjualan senjata kepada Israel

Pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn.
Pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn.
A
A
A

LONDON - UNITED KINGDOM. Ketua pembangkang, Jeremy Corbyn meminta kerajaan Britain supaya membekukan penjualan senjata api kepada Israel dan menggesa pentadbiran Theresa May mengutuk pembunuhan rakyat Palestin.

Corbyn membuat kenyataan itu selepas penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan mendakwa pasukan keselamatan Israel mungkin melakukan jenayah perang dan jenayah ke atas kemanusiaan dalam pembunuhan 189 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 6,100 lain dalam bantahan mingguan di Gaza tahun lalu.

Panel bebas itu berkata, ia memiliki maklumat sulit mengenai pihak yang dipercayai bertanggungjawab atas pembunuhan tanpa undang-undang, termasuk penembak hendap Israel dan komander. PBB menggesa Israel menghukum pihak disebutkan.

"PBB mengatakan Israel melakukan pembunuhan di Gaza termasuk kanak-kanak, paramedik dan wartawan.

"Ini mungkin merupakan jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan," katanya.

Beliau menambah, kerajaan UK mesti secara terang-terangan mengutuk pembunuhan dan membekukan penjualan senjata kepada Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak laporan itu dan menuduh Majlis Hak Asasi Manusia PBB, yang melancarkan siasatan sebagai hipokrit dan berbohong disebabkan kebencian melampau terhadap Israel.

Israel berkata, pasukannya melepaskan tembakan untuk melindungi sempadan daripada pencerobohan dan serangan pejuang bersenjata.

Artikel Berkaitan:

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, penemuan itu mengesahkan, Israel melakukan jenayah perang ke atas rakyatnya di Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis. - Agensi