Orang muda menangkan BN di Semenyih?

BN menang dengan majoriti 1,914 mengalahkan tiga pencabar lain dalam PRK DUN Semenyih pada Sabtu. - Foto Sinar Harian oleh ZAHID IZZANI
BN menang dengan majoriti 1,914 mengalahkan tiga pencabar lain dalam PRK DUN Semenyih pada Sabtu. - Foto Sinar Harian oleh ZAHID IZZANI
A
A
A

KELMARIN, tamatlah kisah PRK DUN Semenyih. Calon BN, Zakaria Hanafi sah memenangi kerusi tersebut, menang dengan majoriti 1,914 undi selepas menewaskan tiga lagi lawannya.

Zakaria memperoleh 19,780 manakala Muhammad Aiman Zainali (PH) mendapat 17,866; Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia (PSM)) pula memperoleh 847 undi dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 725 undi.

Kemenangan itu bermakna BN berjaya merampas kerusi itu daripada PH dan lebih manis, ia merupakan kejayaan kali kedua berturut-turut selepas BN menang dalam PRK Parlimen Cameron Highlands.

Ramai mengakui tidak begitu terkejut dengan kekalahan PH di Semenyih. Beberapa kajian sebelum ini juga telah meramal BN akan menawan Semenyih namun ada juga kajian berkata sebaliknya.

Hakikatnya, kemenangan BN membawa kepada beberapa persoalan yang pastinya tiada jawapan konkrit.

Persoalannya, adakah BN menang kerana faktor orang muda, adakah kerana rakyat muak dengan pentadbiran sekarang atau adakah penyatuan UMNO-Pas merupakan pemangkin kemenangan?

Bagi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beliau menegaskan hampir 95 peratus golongan muda mengundi BN dalam PRK DUN Semenyih.

“Saya melihat saluran-saluran muda di Bukit Mahkota saluran 7,8,9 saluran anak muda kita menang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Semenyih BN punya!

“Saya kira hampir 95 peratus saluran anak muda kita menang,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, 40 peratus pengundi muda di Semenyih memilih BN selepas PH dilihat gagal menunaikan janji.

Menurutnya, isu seperti bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kurangnya peluang pekerjaan membangkitkan ketidakpuasan hati golongan muda Semenyih.

“Anak muda mewakili 40 peratus daripada pengundi Semenyih peka akan isu semasa belia seperti isu peluang pekerjaan, isu PTPTN dan rumah mampu milik. Ia membuatkan mereka lebih memilih BN

“Kekalahan PH juga satu bentuk referendum rakyat buat kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat supaya menunaikan janji pilihan raya, jangan dipersepsikan sebagai mengabaikan kepentingan Melayu dan Islam," katanya.

Tambah beliau, selepas ini PH perlu lebih berhati-hati dan dilihat lebih merakyat, bukan menjadi seperti BN dulu.

“Ternyata berdasarkan kaji selidik, BN dilihat sudah berubah namun watak politik menjejaskan BN perlu direhatkan,” ujarnya.

Bagi team Sinar Harian yang membuat liputan ‘memanggang diri’ selama dua minggu di Semenyih, kami tidak menolak faktor orang muda mungkin mempengaruhi keputusan.

Sepertimana PH menang kerana orang muda dalam PRU14, mungkin ia juga faktor kemenangan BN di Semenyih.

Begitupun, kami berpendapat ia bukanlah faktor tunggal. Banyak lagi faktor lain difikirkan mungkin menjadi asbab kemenangan BN di Semenyih.

Bagi kami, kerjasama UMNO-Pas begitu terserlah di Semenyih, beberapa kali juga pemimpin mereka sepentas bersama dan sambutannya pula, cukup hangat!

Tak dinafikan ia mungkin faktor kemenangan BN di sana. Sejujurnya, ceramah BN di Semenyih mendapat sambutan agak hebat. Sebelum ini agak sukar melihat situasi seperti itu dan pada mata kami, ia seakan petanda awal parti itu bakal menawan Semenyih.

Ternyata, telahan kami tepat. Apa pun, PRK kini sudah tamat. Tahniah kepada BN, usah berduka kepada yang lain!

Biar apa pun keputusannya, biarlah rakyat mendapat manfaatnya. Tapi ingatlah, lepas menang jangan hilang!!!