X

Kindly register in order to view this article
!

Laksana segera akta pembiayaan dana politik

Gambar kecil: Tricia Yeoh
A
A

SHAH ALAM - Pembentangan dan pelaksanaan akta pembiayaan dana politik di Parlimen perlu dipercepatkan bagi mereformasikan isu pendanaan politik di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh berkata, pendanaan politik ketika ini adalah isu yang paling tidak dikawalselia sedangkan ia sebenarnya punca utama berlakunya rasuah berskala besar termasuk membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, ketelusan harus jadi teras atau prinsip utama kepada akta itu yang membabitkan aspek penerimaan dan perbelanjaan dana.

"Dana diterima parti dan yang dibelanjakan parti mesti direkodkan.

"Prinsip kedua yang mungkin susah sedikit tapi harap boleh bincangkannya, tentang pendanaan awam. Kita ada 70 negara di dunia yang telah melaksanakan pendanaan awam.

"Antara kebaikan pendanaan awam bagi parti politik adalah ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada dana pihak-pihak berkepentingan seperti syarikat-syarikat besar, individu-individu kaya, taikun-taikun bisnes dan sebagainya yang lazimnya mengharapkan imbuhan daripada derma diberi," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Forum Akta Pendanaan Politik: Kepentingan dan Cabaran yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Jumaat.

Bergandingan bersama beliau sebagai panelis adalah Setiausaha Agung UMNO merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah) merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Forum anjuran Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat dan Sinar Harian itu dikendalikan Pensyarah Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat sebagai moderator.

Tricia berkata, kebergantungan kepada dana pihak berkepentingan mendorong berlakunya konflik kepentingan.

"Pendanaan awam juga boleh meningkatkan penglibatan wanita dan orang muda dalam politik. Contohnya, sekiranya ada syarat dikenakan pada parti seperti dana khas akan diberi jika parti meletakkan sejumlah wanita dan orang muda dalam pilihan raya.

"Dengan cara ini kita juga berlaku adil kepada parti-parti kecil yang tidak ada peluang untuk menang besar dalam pilihan raya," katanya.

Tricia menegaskan, prinsip ketiga adalah dengan tidak membenarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi dana kepada parti politik bagi mengelakkan konflik kepentingan dan salah guna kuasa.

Katannya, Ideas telah melakukan banyak kajian dan penyelidikan mengenai GLC.

"Di Malaysia GLC di setiap peringkat sama ada kerajaan pusat dan kerajaan negeri, semua diguna sebagai punca memberi dana.

"Masalahnya ialah penglibatan ahli politik dalam GLC. Ini sudah menjadi satu budaya dan tak ada usaha menghentikannya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!