X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Liverpool waspada taktikal Bielsa

Jurgen Klopp
A
A

LIVERPOOL akan berhati-hati dalam membuat persiapan terutama dalam menghadapi taktikal yang bakal digunakan Leeds United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Elland Road pada Ahad.

Pengendali The Reds, Jurgen Klopp berkata, corak permainan skuad kendalian Marcelo Bielsa itu sukar dijangka dan berbeza terutama dengan taktikal bertahan skuad The Peacocks itu.

"Secara umumnya, stail dan filosofi Bielsa tentang bagaimana mereka bertahan sangat berbeza. Mereka man-marking di keseluruhan padang. Kami perlu memahami dengan taktikal tersebut.

"Tetapi, kami ada beberapa pemain untuk bersedia dengan taktikal tersebut dan kami telah melakukan latihan dengan pemain yang ada minggu ini. Sesetengah pemain baru saja kembali daripada tugasan antarabangsa dan saya bagi ruang kepada mereka berehat.

"Menentang Leeds, mereka bermain dengan intensiti tinggi, penguasaan posisi yang bagus dan banyak elemen positif. Mereka belum menang tetapi sudah tentu mereka fikir ada peluang besar ke atas kami.

"Mudah-mudahan kami mampu tampil bagus dan sebaik mungkin. Bagaimana kebiasaan, ketika kami sukar untuk bermain, kami mempunyai peluang untuk menang dan itulah yang kami akan cuba lakukan," katanya.

Dalam pada itu, Klopp turut memberikan bayangan bahawa Liverpool mungkin turun menentang Leeds tanpa Roberto Firmino, Alisson dan Fabinho.

Menurutnya, Firmino tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan paha ketika bertemu Chelsea manakala Alisson dan Fabinho masih menjadi persoalan selepas Brazil membuat permohonan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menggantung pemain berkenaan daripada perlawanan EPL minggu ini.

Brazil menggesa badan induk itu mengambil tindakan selepas kelab-kelab EPL bersetuju untuk tidak membenarkan pemain mereka ke Amerika Selatan berikutan kebimbangan keperluan tempoh kuarantin panjang selepas mereka pulang ke kelab dan terlepas beberapa perlawanan.

"Saya tahu Bobby (Firmino) tidak dapat diturunkan kerana kecederaan. Pemain lain, saya tidak tahu. Ia satu situasi yang amat sukar dan berbahaya buat kelab dan pemain terutamanya.

"Kita tidak boleh mengabaikan bahawa pemain mahu bermain, kelab mahu melepaskan mereka tetapi ia tidak dapat berlaku.Ia benar-benar kelihatan seperti satu hukuman buat pemain kerana mereka tidak dapat bermain, dan sudah pasti buat kelab juga.

"Kami belum membuat keputusan sama ada pemain berkenaan dapat diturunkan atau tidak," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!