Suntik semangat barisan hadapan

Amilludin (dua dari kiri) bersama Mahadi (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan daripada Pusat Pakaian Hari-Hari kepada salah seorang petugas PPV MAIWP. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Amilludin (dua dari kiri) bersama Mahadi (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan daripada Pusat Pakaian Hari-Hari kepada salah seorang petugas PPV MAIWP. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 50 orang petugas dan sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dewan Komuniti Sri Petaling, Bukit Jalil di sini menerima sumbangan daripada Pusat Pakaian Hari-Hari dalam satu majlis ringkas pada Jumaat.

Penyerahan sumbangan berkenaan turut melibatkan kerjasama MAIWP dan Puspanita Cawangan Kecil MAIWP bertujuan bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang membantu melawan penularan wabak Covid-19.

Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari, Amilludin Latip berkata, pihaknya menyerahkan sumbangan berkenaan atas dasar keprihatinan pengorbanan dilakukan petugas barisan hadapan sejak penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Menerusi penyerahan ini, kami memberi beberapa barangan seperti baucar Pusat Pakaian Hari-Hari, tuala, pelitup muka dan air mineral.

“Sumbangan ini diharap dapat memberi suntikan semangat kepada barisan hadapan,” katanya kepada Sinar Harian selepas penyerahan sumbangan itu pada Jumaat.

Pada majlis berkenaan, Amilludin membuat gimik penyerahan sumbangan kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mahadi Sukarno.

Mengulas lanjut, Amilludin berkata, pihaknya akan meneruskan lagi kerjasama seperti ini bagi menghargai lebih ramai petugas barisan hadapan.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, Pusat Pakaian Hari-Hari telah mengambil insiatif bagi membantu petugas barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR), hospital dan sebagainya.

“Peranan petugas barisan hadapan ini adalah sangat penting dalam membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Amilludin (tengah) dan Mahadi (depan, dua dari kiri) bergambar selepas penyerahan sumbangan daripada Pusat Pakaian Hari-Hari di PPV MAIWP Dewan Komuniti Sri Petaling, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Amilludin (tengah) dan Mahadi (depan, dua dari kiri) bergambar selepas penyerahan sumbangan daripada Pusat Pakaian Hari-Hari di PPV MAIWP Dewan Komuniti Sri Petaling, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.



Sementara itu, Mahadi berkata, sokongan yang diberikan menerusi sumbangan itu sememangnya amat membantu MAIWP dalam bersama-sama merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyegerakan proses vaksinasi.

“Kami amat mengalu-alukan sumbangan sebegini dan mengharapkan lebih banyak pihak akan tampil bersama MAIWP bagi menghargai petugas barisan hadapan,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai PPV kendalian mereka, Mahadi berkata, kerajaan sebelum ini memberi kelulusan operasi kepada MAIWP bagi melaksanakan inisiatif itu di empat lokasi dengan peruntukan 15,000 dos vaksin Covid-19.

Ujarnya, PPV MAIWP di Dewan Komuniti Sri Petaling merupakan lokasi terakhir dan ia akan ditamatkan operasi pada Ahad ini.

“PPV kendalian MAIWP ini telah banyak membantu golongan asnaf untuk mendapatkan vaksin masing-masing bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Tambahnya, MAIWP sememangnya amat mengharapkan sokongan dan bantuan daripada syarikat serta pihak luar untuk bersama-sama bekerjasama dalam membantu golongan memerlukan sewaktu pandemik Covid-19 yang mencabar ini.

“Kita sememangnya tahu ramai pihak yang sangat memerlukan ketika pasca Covid-19 ini dan disebabkan itulah penglibatan semua pihak amat penting demi kelangsungan mereka yang terjejas,” katanya.