KDA FC digesa bangkit atasi Melaka United FC

Aidil Sharin Sahak. FOTO KEDAH DARUL AMAN FC
Aidil Sharin Sahak. FOTO KEDAH DARUL AMAN FC
A
A
A

ALOR SETAR - Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak mahu semua pemainnya bangkit pada perlawanan akhir memburu kemenangan pada perlawanan akhir Liga Super 2021 menentang Melaka United FC pada Ahad di Alor Setar.

Menurutnya, beliau mahu keputusan dua perlawanan lalu iaitu tewas 2-1 kepada KL City FC dan seri 3-3 dengan UiTM FC sebagai pengajaran apabila sekadar meraih satu mata sahaja.

"Kita tiada pilihan pada perlawanan akhir liga ini melainkan kembali bangkit (memburu kemenangan). Saya tidak mahu pemain tertekan atau takut-takut pada perlawanan bertemu Melaka United, hanya perlu fokus sepanjang 90 minit ini.

"Saya akui bukan tugas mudah buat pemain-pemain apabila bermain sembilan perlawanan dalam tempoh sebulan. Mereka keletihan, namun pemain perlu memberikan segala-galanya pada perlawanan ini," katanya pada Sabtu semasa mengulas persediaan untuk menentang Melaka United FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, beliau kagum dengan semangat anak-anak buahnya biarpun keletihan namun semua pemain masih bersemangat untuk diturunkan dan pemilihan secara keseluruhan akan dilakukan bagi memastikan yang betul-betul bersedia dapat diturunkan pada perlawanan tersebut.

"Bakal bertemu dengan skuad Melaka United yang cukup berbeza pada kali ini, berbeza dengan skuad lama pada pusingan pertama lalu. Pada kali ini mereka dilihat lebih kuat.

"Tapi saya masih yakin dengan pemain-pemain saya yang didaftarkan untuk perlawanan ini. Kita perlu mempunyai kepercayaan di antara satu sama lain selain perlu sentiasa memotivasikan masing-masing baik di dalam dan luar padang sebelum perlawanan bermula," ujarnya.

Aidil Sharin berkata, beliau mempunyai keyakinan terhadap semua pemain-pemain yang akan berjuang bermatian-matian bagi memastikan gelaran naib juara liga super musim ini menjadi milik hijau kuning.

Artikel Berkaitan:

Katanya, persediaan untuk beraksi di atas padang basah pada Ahad ini turut dilakukan oleh pasukan tersebut selepas mereka melalui perkara sama sewaktu bertemu UiTM FC pada Rabu lalu.