Kesungguhan kerajaan tamatkan 'barah politik'

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto fail Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto fail Bernama
A
A
A

DALAM keadaan rakyat tidak sabar untuk Dewan Rakyat kembali bersidang Isnin ini, kerajaan sekali lagi membuat kejutan apabila mengemukakan tujuh tawaran transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan.

Tujuh tawaran itu bukan biasa-biasa, sekaligus menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menamatkan kemelut politik negara yang berlanjutan sekian lama dan sudah menjadi barah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya pada Jumaat berkata, tujuh tawaran itu dikemukakan kerajaan untuk mewujudkan landskap politik baharu.

Menurutnya, ia bagi melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya, memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Katanya, tawaran itu meliputi Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen dan pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat serta pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Selain itu, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang, setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama dan ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberi pandangan dan cadangan penambahbaikan.

Ketua Pembangkang juga akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Jelas Ismail Sabri, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat selaras dengan usaha untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Tawaran yang diberikan kerajaan itu juga mendapat reaksi pelbagai daripada rakyat, ada yang melihatnya dari sudut positif dan ada yang berpandangan sebaliknya.

Segelintirnya menyifatkan langkah itu untuk meredakan suhu panas politik di musim pandemik ketika ini sementara menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tidak lama lagi.

Malah, pembentangan RUU Anti-Lompat Parti disokong untuk disegerakan bagi mengelakkan budaya 'katak melompat' parti daripada terus berlaku.

Ia kerana rakyat tidak mahu peristiwa 'Langkah Sheraton' kembali berulang kerana mereka yang menerima tempias buruknya.

Dengan pelbagai tawaran menarik itu juga kerajaan kini dililihat lebih bersifat terbuka kerana memberi peluang kepada pembangkang untuk turut sama menangani krisis Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.

Justeru itu, sidang Parlimen yang bakal berlangsung dua hari lagi bakal menguji sejauh mana penerimaan pembangkang terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Apa yang kita harapkan episod jerit-menjerit di dalam sidang Parlimen pada bulan lalu kerana rasa tidak puas hati pembangkang terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu.