Gerakan lebih lantang tolak rasuah

Pelancaran program Politik #MalaysiaTanpaRasuah akan diadakan pada hari ini. (Gambar kecil: Hussamuddin)
Pelancaran program Politik #MalaysiaTanpaRasuah akan diadakan pada hari ini. (Gambar kecil: Hussamuddin)
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas enam bulan dilancarkan, Rasuah Busters yang memberi fokus kepada usaha menentang rasuah melangkah setapak lagi apabila bakal melancarkan gerakan lebih lantang dikenali Politik #MalaysiaTanpaRasuah pada hari ini.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pasukannya dengan sokongan dan gabungan lebih 400 organisasi akan memulakan gerakan yang lebih vokal sebagai kumpulan pendesak supaya reformasi politik dilakukan demi kestabilan negara pada masa akan datang.

Menurutnya, menerusi pelancaran secara besar-besaran itu terdapat enam tuntutan akan dikemukakan sebagai langkah kerjasama rakyat dan pihak kepimpinan negara demi kestabilan Malaysia.

Jelas Hussamuddin, mengikut panduan atau roadmap Rasuah Busters, fasa pertama memberi kesedaran untuk tempoh enam bulan dan melangkah ke fasa dua iaitu pendidikan dan disusuli melakukan pembaharuan.

“Bagaimanapun disebabkan perkembangan politik dan ekonomi yang begitu mendesak ketika ini, kita berasakan perlunya satu gerakan yang lebih cepat.

“Sepanjang kempen enam bulan ini rakyat di bawah mahukan perubahan dan menolak rasuah tetapi kalau pemimpin tidak mahu berubah ia agak sukar.

“Jadi, sekarang kita mahu mendesak pemimpin (khususnya ahli Parlimen) dalam tempoh berbaki kira-kira 20 bulan lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya bersama-sama dengan kita melakukan perubahan dari segi undang-undang dan pembaharuan institusi supaya proses pemilihan pemimpin lebih telus,” katanya.

Pelancaran Politik #MalaysiaTanpaRasuah pada Sabtu yang akan berlangsung selama sejam setengah mulai jam 11 pagi itu akan disiarkan secara langsung melalui Astro Awani Saluran 501 dan platform digital rakan media termasuk Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Program itu turut menampilkan tujuh panel iaitu Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fan; Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia, Badlishah Sham Baharin, Presiden Transparency International-Malaysia, Dr Muhammad Mohan daripada serta Pengarah Eksekutif Pusat Untuk Memerangi Kronisme dan Korupsi, Cynthia Gabriel.

Turut akan menyertai mereka ialah Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Tricia Yeoh dan Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Mengulas lanjut, Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf berkata, selaku organisasi yang tidak menyokong mana-mana parti, ahli politik khsusunya ahli Parlimen digesa supaya mendengar suara mereka yang mahukan supaya perbuatan memberi dan menerima rasuah dihapuskan.

“Kalau kita tengok ada pemimpin secara individu sudah mula bersuara untuk melakukan perubahan ini tetapi kerana disebabkan mereka orang UMNO contohnya, DAP pasti tidak akan menyokong.

“Jadi, sekarang ini kita harap Rasuah Busters boleh menjadi orang tengah sebagai moderator untuk memudahkan proses reformasi dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, jika seruan yang dibuat pasukannya ini tidak diendahkan, Rasuah Busters terus nekad untuk menolak sesiapa sahaja yang terlibat dengan rasuah atau membiarkan rasuah berleluasa.