Aksi Melaka United FC-KDA FC dijangka sengit

Barisan pemain Melaka United FC bakal berdepan ujian getir menentang KDA FC di Stadium Darul Aman pada Ahad. -Foto: Melaka United FC
Barisan pemain Melaka United FC bakal berdepan ujian getir menentang KDA FC di Stadium Darul Aman pada Ahad. -Foto: Melaka United FC
A
A
A

PENGENDALI Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan menjangkakan pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman pada Ahad bakal menyaksikan saingan sengit kedua-dua pasukan.

Justeru, beliau telah mengingatkan barisan pemainnya untuk memberikan aksi terbaik dalam misi Melaka United FC mengakhiri saingan Liga Super musim ini dengan noktah kemenangan.

“Kami akan beraksi macam biasa kerana apa yang penting adalah untuk mencatatkan kemenangan dan mengekalkan kedudukan kami pada tempat ketujuh Liga Super musim ini.

“Bagaimanapun, saya yakin KDA FC akan beraksi berhabis-habisan dalam usaha mereka mengejar status selaku naib juara Liga Super musim ini.

“Jadi perlawanan ini pastinya berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan mengejar kemenangan yang cukup penting,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Melaka United FC kini berada pada kedudukan ketujuh Liga Super dengan 21 mata hasil lima kemenangan, sembilan seri dan tewas tujuh kali daripada 21 perlawanan.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, biarpun ramai tonggaknya telah beransur pulih, beliau akan terus memberikan kepercayaan kepada pemain-pemain sedia ada untuk beraksi berdepan KDA FC.

“Saya memilih untuk menurunkan pemain sedia ada kerana mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain yang baru pulih daripada kecederaan pulih sepenuhnya untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia nanti.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, Piala Malaysaia adalah idaman bagi setiap pasukan dan ia juga adalah piala terakhir bagi musim ini. Jadi saya mahu sediakan pemain terbaik untuk mengharungi saingan Piala Malaysia.

“Saya juga telah tekankan perkara ini berulang kali kepada pemain agar mereka curahkan segala-galanya kerana ini adalah peluang untuk mereka merasai nikmatinya (memenangi Piala Malaysia),” ujarnya.