Negeri Sembilan FC hampiri gelaran juara Liga Premier

Pemain Sarawak United FC, Uche Agba diasak pemain Negeri Sembilan FC, Mohamad Zamri Pin Ramli pada saingan Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat. -Foto Bernama
Pemain Sarawak United FC, Uche Agba diasak pemain Negeri Sembilan FC, Mohamad Zamri Pin Ramli pada saingan Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat. -Foto Bernama
A
A
A

NEGERI Sembilan FC mencerahkan peluang muncul juara Liga Premier musim ini selepas menewaskan pendahulu, Sarawak United FC 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Pemain import, Francis Kone muncul wira Negeri Sembilan FC apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua.

Kejayaan meraih tiga mata berharga itu menyaksikan Negeri Sembilan FC berjaya memintas kedudukan Sarawak United FC di persada Liga Premier.

Selepas mengharungi 19 perlawanan, skuad Hoben Jang Hoben itu mengumpul 38 mata - berkelebihan satu mata di depan Sarawak United FC.

Sebelum perlawanan tersebut, Negeri Sembilan FC dan Sarawak United sudah pun mengesahkan slot ke Liga Super musim depan dan kini kedua-dua pasukan bersaing sengit memburu trofi kejuaraan liga.

Dalam aksi terakhir liga pada 21 September ini, Negeri Sembilan FC bakal berdepan PDRM FC manakala Sarawak United FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor FC 2 gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-4 kepada Terengganu FC (TFC) II.

Gol TFC II terhasil menerusi jaringan Ramzi Sufian, Engku Nur Shakir, Jordan Mintah serta jaringan sendiri pemain Selangor FC 2, Ahmad Zikri Khalili.

Artikel Berkaitan:

Di Stadium UiTM Shah Alam, Perak FC II memungut tiga mata penuh selepas membenam Skuad Projek FAM-MSN 2-0 hasil jaringan Aqil Hilman dan Adam Nadzmi Zamri.