'Kalau saya tidak tetapkan pendirian, PH mungkin jadi kerajaan'

Muhyiddin ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Bersatu yang diadakan secara maya pada Jumaat.
Muhyiddin ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Bersatu yang diadakan secara maya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan sekiranya beliau tidak menetapkan pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, jika beliau dan ahli-ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu dan pembentukan kerajaan juga, Bersatu mungkin akan menjadi pembangkang.

Muhyiddin berkata, beliau berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu dan pimpinan parti-parti dalam PN iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan serta pucuk pimpinan parti rakan iaitu GPS dan PBS supaya mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.

"Dengan itu, Bersatu dan parti-parti komponen PN akan terus berada dalam kerajaan untuk meneruskan usaha-usaha memulihkan negara sehinggalah tiba suatu masa pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu.

"Pada masa itu, PN dan saya sebagai pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya. InsyaALLAH, dengan izin ALLAH dan sokongan rakyat, 'we will make a comeback!'," katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Bersatu yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Muhyiddin berkata, jika tindakan itu tidak dibuat, keadaan politik negara mungkin akan terumbang-ambing kerana suasana pada ketika itu menunjukkan tidak ada sesiapa pun yang mendapat sokongan majoriti.

Justeru, beliau menetapkan pendirian itu kerana beliau masih mempunyai tanggungjawab sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN walaupun beliau boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri apatah lagi beliau sudah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kedudukan kerajaan PN.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ke arah menghadapi pilihan raya, semua ahli parti itu mesti melakukan segala persiapan.

Artikel Berkaitan:

"Tumpukan kepada usaha untuk memperkuatkan parti di akar umbi. Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan iri hati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat.

"Perkukuhkan kerjasama kita dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan. Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.

"Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan," katanya.

Muhyiddin menambah, Bersatu juga mesti meneruskan kerja-kerja amal kerana rakyat mahu merasakan jasa parti itu kepada mereka.

"Apa bantuan yang kita boleh sampaikan. Ziarah mereka. Tanya khabar mereka. Cukup makan atau tidak. Sakit demam mereka bagaimana. Dan kita bantulah mereka. Itulah yang terbaik untuk kita lakukan.

"Buktikan budaya politik Bersatu ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa," katanya.

Menurutnya, Bersatu juga perlu membuktikan nilai kepimpinan mereka yang berteraskan prinsip integriti dan amanah serta tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Kita tidak mencampuri urusan mahkamah. Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tata kelola kerajaan yang baik," katanya.