Kim Swee letak jawatan Pengarah Teknikal FAM, bakal bimbing Sabah FC

Kim Swee bakal membimbing Sabah FC mulai 1 Oktober ini.
Kim Swee bakal membimbing Sabah FC mulai 1 Oktober ini.
A
A
A

BEKAS pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat.

Kim Swee menyerahkan surat peletakan jawatannya itu kepada Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Pihak pengurusan FAM telah menerima peletakan jawatan tersebut, seterusnya mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan Kim Swee yang akan menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Untuk rekod, Kim Swee yang bakal mencecah usia 51 tahun pada 11 Disember depan telah berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula tahun 2007 dengan pelbagai jawatan.

Beliau pernah dilantik sebagai pengendali skuad B-16 (B-16); skuad B-17; skuad Harimau Muda, skuad B-23; skuad senior kebangsaan, Ketua Unit Belia dan terakhir sebagai Pengarah Teknikal FAM bermula Januari 2021.

Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama FAM ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007; naib juara Piala Belia 2008; juara Liga Premier 2009; pingat emas Sukan SEA 2011; juara Pestabola Merdeka 2013; pingat perak Sukan SEA 2017; suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018.

Dalam satu kenyataan, FAM mengucapkan terima kasih kepada Kim Swee atas khidmat dan jasanya sepanjang bersama badan induk itu dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya.

Artikel Berkaitan: