Kejayaan bermakna Malaysia di pentas WEC Jr 2021

Pasukan Malaysia merakam detik indah selepas memenangi tempat kedua WEC Jr 2021 di Ermelo, Belanda.
Pasukan Malaysia merakam detik indah selepas memenangi tempat kedua WEC Jr 2021 di Ermelo, Belanda.
A
A
A

MALAYSIA beraksi cemerlang dengan mengungguli tempat kedua bagi kategori berpasukan dalam Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia 2021 (WEC Jr 2021) Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) di Ermelo, Belanda pada Khamis.

Kejayaan itu dilakar lima atlet kebangsaan terdiri daripada Muhammad Faris Haikal Mohd Hassan Sa'ari, 21; Anfal Insyirah Abu Talib, 15; An Nur Muhammad Imran Eirfan Anuwar, 19, yang berasal dari Terengganu serta dua lagi ekuin iaitu Muhammad Yusuf Luqman Zakaria, 19 dan Nur Qasrina Amani Zakaria, 20, dari Kuala Lumpur.

Pengurus pasukan, Wan Mohd Kamaluddin Wan Yussof berkata, pasukan negara berjaya menduduki tempat kedua dengan catatan masa 19 jam 11 minit 16 saat bagi kategori 120 kilometer (km) sekaligus menewaskan peserta dari 21 negara lain.

Lebih manis, kejayaan dilakar atlet negara itu sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan antarabangsa sejak penyertaan Malaysia dalam pertandingan itu pada 2013.

"Kejayaan ini amat bermakna bagi pasukan kuda lasak negara yang pertama kali memenangi kedudukan Podium. Ianya merupakan hasil usaha dan kegigihan serta perancangan teliti pasukan.

"Kerjasama semua termasuk pemilik kuda, Pegawai Pasukan, Trainer, Team Vet, Krew berjaya membuahkan hasil malah penunggang juga berjaya mengekalkan momentum terbaik mereka pada jarak sejauh 120km walaupun mengharungi trek berbatu dan berpasir.

"Selain itu, pengorbanan atlet negara yang terpaksa meneruskan latihan harian dalam situasi pandemik Covid-19 bagi mengekalkan kecerdasan wajar disanjung," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Kejohanan kali ini menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Perancis yang mencatatkan masa 16 jam 57 minit 27 saat sekaligus memperoleh emas manakala pingat gangsa menjadi milik Belgium dengan catatan masa 20 jam 43 minit 03 saat.

Artikel Berkaitan:

Bagi kategori individu pula, atlet yang bernaung di bawah Kelab State Terengganu Endurance Team (STET), Muhammad Faris Haikal menduduki tempat ke13 manakala Muhammad Yusuf Luqman (15), Nur Qasrina Amani (16) dan An Nur Muhammad Imran Eirfan (27).

Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia 2021 atau World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021 (CH-M-YJ-E 120km) anjuran badan induk sukan ekuestrian dunia, Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) itu berlangsung selama enam hari bermula 6 hingga 12 September.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini menduduki tempat keempat bagi kategori berpasukan dalam sukan kuda lasak remaja pada 2013 yang berlangsung di Tarbes, Perancis manakala pada 2019 berada di kedudukan kelima di Pisa, italy.

Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia 2021 merupakan kejohanan peringkat piala dunia yang diadakan setiap dua tahun bagi penunggang-penunggang remaja bawah 21 tahun.