PKPD Kuala Kedah: Kerajaan negeri sedia tambahan 5,000 bakul makanan

Petugas mengagihkan bakul makanan dari rumah ke rumah penduduk terlibat PKPD Kuala Kedah pada Selasa lalu. Gambar kecil: Sanusi
Petugas mengagihkan bakul makanan dari rumah ke rumah penduduk terlibat PKPD Kuala Kedah pada Selasa lalu. Gambar kecil: Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk menyediakan 5,000 bakul makanan bagi diedarkan kepada penduduk yang terkesan dalam Perintah Kawalan Pegerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, agihan tambahan bakul makanan berkenaan akan mula diagihkan pada Sabtu di dua lokaliti dalam mukim Kuala Kedah yang terlibat.

Menurutnya, dakwaan bakul makanan lewat diagihkan adalah tidak tepat kerana agihan ke rumah penduduk telah dilakukan bermula Selasa lalu.

“5,000 bakul makanan ini adalah tambahan kepada bakul makanan sedia ada di PKOB Kota Setar.

Dakwaan agihan lewat tidak betul, edaran sudah dibuat secara berperingkat. Semua prosedur adalah sama di semua PKPD, tiada pilih kasih sama ada kawasan terlibat bawah wakil rakyat pembangkang atau tidak, agihan dibuat secara adil,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, perkara penting yang diberi keutamaan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) melibatkan semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dalam mencadangkan pelaksanaan PKPD di sesuatu kawasan, antaranya adalah bilangan kes positif, sosioekonomi penduduk, jumlah keluarga, sektor perkhidmatan perlu yang dibenar beroperasi serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) PKPD.

Petugas mula mengagihkan bakul makanan ke rumah penduduk terlibat PKPD Kuala Kedah sejak Selasa lalu.
Petugas mula mengagihkan bakul makanan ke rumah penduduk terlibat PKPD Kuala Kedah sejak Selasa lalu.

“Perkara utama dalam kertas cadangan untuk melaksanakan PKPD yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pusat termasuk peruntukan kewangan kerajaan negeri untuk menyediakan bakul makanan dan keperluan khusus penduduk supaya mereka dapat kekal di rumah tanpa perlu keluar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia mungkin mengambil sedikit masa untuk menyediakan keperluan berkenaan sejurus PKPD Kuala Kedah diumumkan bermula 6 hingga 19 September.

Pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris mempersoalkan kelewatan agihan bakul makanan kepada penduduk terlibat PKPD Kuala Kedah yang dianggarkan mencecah 20,000 orang, selain kelewatan SOP yang diumumkan pada petang Rabu, sedangkan penguatkuasaan PKPD bermula Isnin.

Beliau turut mendakwa penduduk mengadu sukar mengakses talian hotline PKOB Kota Setar kerana hanya satu talian disediakan.

Tambah Muhammad Sanusi, penduduk yang terputus bekalan makanan boleh menghubungi PKOB Kota Setar di talian 04-7028070, dan mungkin perlu membuat panggilan beberapa kali kerana talian hotline itu agak sibuk melayani panggilan masuk yang bertali arus.

ARTIKEL BERKAITAN: Saran buka dua lagi klinik kesihatan sebagai PPV