Agensi pelancongan Langkawi dibenar beroperasi tanpa daftar CIMS

Langkawi. - Foto 123rf
Langkawi. - Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat agensi pelancongan dibenarkan beroperasi serta merta tanpa perlu mendaftar dengan ‘Covid-19 Intelligent Management System’ (CIMS), bagi menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi yang akan bermula pada 16 September ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Nancy berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat.

Menyifatkan keputusan itu sebagai berita baik kepada pemain industri, beliau berkata, ia dapat membantu 5,335 agensi pelancongan berdaftar di negara ini untuk menjana semula pendapatan mereka, setelah terjejas hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan sentiasa komited untuk memulihkan ekonomi dan memastikan kesinambungan perniagaan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan, terutamanya dalam mengekalkan pekerjaan mereka yang terlibat dalam rantaian sektor yang sama,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pulau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu, adalah terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin Covid-19 mereka.

Nancy berkata, kerajaan telah menyalurkan pemberian bantuan khas sekali beri RM3,000 kepada 2,899 agensi pelancongan, melibatkan peruntukan sebanyak RM8.6 juta.

“Pembayaran kepada 2,436 agensi pelancongan lagi sedang diproses,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: