Strategi baharu tangani isu pendatang tanpa dokumen

Andres Manuel Lopez Obrador. Foto AFP
Andres Manuel Lopez Obrador. Foto AFP
A
A
A

MEXICO CITY - Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Khamis berkata perlunya satu strategi baharu diwujudkan untuk menangani kebanjiran pendatang tanpa dokumen, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Mexico, perkara itu disuarakan menerusi sepucuk surat yang dikirim kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.

Surat itu disampaikan Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di Rumah Putih, sebelum bermulanya dialog ekonomi AS-Mexico yang telah tertunda selama lima tahun.

Lopez Obrador berkata, perlunya pendekatan baharu terhadap fenomena migrasi Amerika Tengah dan menyokong pendekatan yang mengutamakan pembangunan dan peluang di wilayah yang menjadi sumber migrasi besar-besaran itu.

Pada mesyurat itu kedua-dua pihak mengulangi kesediaan mereka untuk memperkukuh kerjasama dalam isu-isu utama membabitkan hubungan dua hala.

Menurut delegasi Mexico, pentingnya pembukaan semula sempadan AS-Mexico untuk memberi manfaat kepada aktiviti perdagangan, sambil melindungi kesihatan penduduk di kedua-dua negara di tengah pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: