FIM2021 disasar jana potensi pelaburan bernilai RM200 juta

Rosol
Rosol
A
A
A

PAMERAN dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2021 (FIM2021) yang akan berlangsung secara digital bermula 9 hingga 16 Okt ini disasar menarik kira-kira RM200 juta potensi pelaburan dalam bidang francais.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, jumlah sasaran berkenaan mampu dicapai berdasarkan laporan pempamer iaitu francaisor yang menyatakan bahawa pengunjung maya menunjukkan potensi tinggi terhadap perniagaan francais.

“Malah ada antara pengunjung maya yang turut melakukan transaksi pembayaran deposit perniagaan kepada francaisor dan kesemua ini dicatatkan sebagai potensi pelaburan,” katanya serta menambah FIM2020 yang juga diadakan secara digital tahun lepas telah menghasilkan potensi perniagaan francais bernilai RM120 juta.

Berucap merasmikan majlis pra-pelancaran FIM2021 secara maya pada Jumaat, Rosol berkata, FIM2021 menyasarkan 15,000 pengunjung maya berbanding 7,900 pengunjung pada FIM2020.

Beliau berkata, sebanyak 150 reruai dicadangkan untuk dibuka bagi FIM2021 melibatkan penyertaan pemain industri francais tempatan dan luar negara, serta agensi yang berkaitan dengan ekosistem francais.

Setakat ini, katanya, sebanyak 50 reruai telah ditempah oleh syarikat francais di mana 10 daripadanya merupakan jenama dari Korea Selatan yang dibawakan khas oleh Korea Agro Tourism.

Pempamer yang berminat boleh mengesahkan penyertaan mereka sebelum 30 Sept ini menerusi https://www.myfim.my dan pengunjung juga boleh berdaftar masuk menerusi pautan berkenaan untuk melayari senarai pempamer yang tertera secara reruai digital.

“Mereka juga boleh menyertai ‘franchise live session’ mengikut jadual yang akan dikeluarkan kelak selain bertukar kad perniagaan secara digital menerusi pautan diberikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

FIM merupakan satu-satunya pameran francais berskala besar di Malaysia yang diiktiraf oleh World Franchise Council (WFC) dan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) yang biasanya dianjurkan secara fizikal melibatkan pameran dan ekspo di beberapa lokasi strategik seperti Mid Valley Megamall dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bermula 2020, FIM berubah format ke bentuk digital bagi menyesuaikan dengan keperluan norma baharu ekoran pandemik Covid-19 dan menarik penyertaan sebanyak 57 syarikat francais daripada 11 negara termasuk Arab Saudi, Belanda, Itali dan Australia.

FIM merupakan program tahunan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan telah menghasilkan nilai potensi pelaburan dalam industri francais sebanyak RM3.75 bilion atau purata RM375 juta setiap tahun bagi tempoh 2010 hingga 2019. - Bernama