Selangor sambut baik kebenaran guna sijil vaksinasi Selangkah

Dr Siti Mariah
Dr Siti Mariah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang membenarkan penggunaan sijil vaksinasi aplikasi Selangkah bagi penerima vaksin di bawah Program Vaksinasi Selangor (Selvax).

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perkara tersebut dipersetujui dalam Sidang Media Menteri Kesihatan pada Khamis.

Menurutnya, kerajaan Selangor melihat keputusan tersebut sebagai suatu bentuk pengiktirafan terhadap inisiatif yang dilaksanakan pihaknya bagi melengkapi usaha kerajaan Persekutuan dalam menangani pandemik Covid-19.

“Oleh itu rakyat Selangor yang masih belum menerima sijil vaksinasi digital MySejahtera kini boleh menggunakan sijil vaksinasi di dalam aplikasi Selangkah sebagai dokumen pengesahan bagi keperluan aktiviti harian,” katanya pada Jumaat.

Pada Khamis, Khairy Jamaluddin mengumumkan pasukan yang menguruskan aplikasi MySejahtera diberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan isu berkaitan sijil digital vaksinasi.

Ujarnya, ia berikutan ada individu yang telah menerima suntikan vaksin lengkap, namun aplikasi berkenaan tidak memaparkan sijil digital itu.

Menurut Khairy, kebenaran sama turut diberikan kepada penduduk di Selangor yang menerima vaksinasi melalui program Selvax.

"Bagi mereka yang berada di Selangor dan telah menerima vaksinasi melalui program Selvax di mana mereka ada sijil di dalam Selangkah, jadi buat sementara ini boleh gunakan kad vaksinasi fizikal," katanya.

Artikel Berkaitan: